Kerjasama strategik UMP, Kumpulan Perodua perkasa graduan TVET - Utusan Malaysia

Kerjasama strategik UMP, Kumpulan Perodua perkasa graduan TVET

WAN Azhar Wan Yusoff (depan, kanan) dan Zainal Abidin Ahmad bertukar dokumen MoU disaksikan oleh Noraini Ahmad (belakang).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan Kumpulan Perodua bakal memperkasa program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan pelaksanaan Program Sarjana Muda Teknologi (BTech Apprenticeship) menggunakan model pendidikan kejuruteraan Jerman dalam sistem pendidikan di negara ini.

Program julung kali diperkenal di Malaysia itu bakal menjadi penanda aras terhadap pengajian lain dalam menerapkan elemen Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) yang menggabungkan teknologi automasi dengan teknologi siber.

Ia selaras dengan matlamat penubuhan Majlis TVET serta menyokong inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi dalam memperkasakan graduan TVET negara.

Program itu dibangunkan khusus oleh UMP dengan sumber bakat Perodua mengikuti pengajaran dan pembelajaran di lapangan tempat mereka bekerja dengan pendekatan pembelajaran berasaskan Project Oriented Problem Based Learning (POPBL), dengan pelajar bekerja seperti biasa sambil melengkapkan kurikulum pengajian melalui projek dan penilaian berasaskan portfolio dan ujian cabaran (challenge test).

Pada masa yang sama, ahli akademik UMP boleh meningkatkan pengalaman dan kemahiran mereka melalui pendedahan sebenar dan praktis di industri khususnya Perodua dan boleh menjalankan penyelidikan bersama antara universiti dan industri.

Majlis menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Wan Azhar berkata, Mod Industri Perantisan berkonsepkan “Earn & Learn” itu bakal meningkatkan motivasi terhadap sumber bakat staf dan pekerja industri untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan baharu yang menyumbang kepada pembangunan produktiviti syarikat dan negara.

“Kerjasama strategik ini akan memberi tumpuan terhadap peningkatan sumber bakat Kumpulan Perodua dari pelbagai lapisan.

“Mereka berpeluang meningkatkan tahap akademik dengan mengikuti pengajian di lapangan dengan masa yang bersesuaian tanpa perlu meninggalkan tugas dan tanggungjawab hakiki mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Azhar berkata, pendekatan POPBL itu mampu memastikan sumber bakat staf dan pekerja industri mendapat pendedahan daripada kemahiran menyelia kepada kemahiran mengurus dengan penekanan elemen pintar perniagaan.

“Pelaksanaan kerjasama strategik ini akan dilaksanakan pihak UMP Advanced iaitu anak syarikat UMP yang akan mengurus dan memantau program berdasarkan kepada piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak Lembaga Teknologis Malaysia dan Senat,” ujarnya.

Sementara itu, Zainal berkata, MoU itu begitu bermakna kepada Perodua kerana ia menyumbang dalam penambahbaikan sistem pendidikan tinggi negara terutama dalam bidang industri automotif.

Selain itu, katanya, Perodua telah melaksanakan inisiatif sendiri menerusi Program Latihan Remaja Perodua sejak 1999, sehingga kini lebih 3,000 pelajar dan kebanyakannya telah diserap bekerja. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya