Kepala paip tertusuk perut - Utusan Malaysia

Kepala paip tertusuk perut

KEADAAN pelajar tahfiz yang diselamatkan pasukan bomba selepas perutnya tertusuk kepala paip di Merlimau, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pelajar tahfiz terpaksa menahan sakit kira-kira 20 minit apabila kepala paip jenis tembaga tertusuk ke dalam perutnya selepas terjatuh di tempat mengambil wuduk di sebuah madrasah di Merlimau di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Faisal Fuad berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 8.42 malam dan sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan tiba di lokasi seminit kemudian dan mendapati terdapat seorang pelajar tahfiz berusia 14 tahun berada di tempat mengambil wuduk dengan keadaan kepala paip tembaga berbentuk T tertusuk di bahagian kanan perutnya.

“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk kerja-kerja pemotongan kepala paip menggunakan pemotong khas.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak pegawai perubatan dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, warden pusat tahfiz berkenaan, Muhammad Muaz Abd. Razak, 23, berkata, kejadian berlaku ketika pelajar sedang bersiap-siap menunggu waktu solat Isyak selepas berbuka puasa.

“Tiba-tiba sekumpulan pelajar datang memberitahu perut seorang pelajar berusia 14 tahun cedera akibat tertusuk kepala paip.

“Dalam keadaan cemas, saya bergegas dan terkejut apabila mendapati kepala paip tembaga itu sudah tertusuk di bahagian kanan perutnya sehingga menampakkan bahagian lemak yang terkeluar,” katanya.

Tambahnya, bagaimanapun pelajar tersebut tidak meraung dan masih boleh bertenang walaupun dalam keadaan menahan sakit.

Jelasnya, difahamkan sebelum kejadian pelajar tersebut duduk di atas tembok tempat mengambil wuduk itu bersama lima rakan yang lain, namun tiba-tiba dia tergelincir dan terjatuh dengan keadaan perutnya mengenai kepala paip tersebut.

“Apa-apa pun pihak sekolah bersyukur kerana keadaan pelajar berkenaan dilaporkan stabil dan ibu bapa pelajar terbabit juga telah dimaklumkan mengenai insiden ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.