KBBM catat jualan RM1.78 bilion - Utusan Malaysia

KBBM catat jualan RM1.78 bilion

ROSOL Wahid menyerahkan sijil logo Buatan Malaysia kepada Syarikat Berkat Tuah Foodstuff. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mencatatkan nilai jualan RM1.78 bilion pada tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, angka tersebut merupakan pencapaian yang besar bila mana promosi dan jualan masih dapat dilakukan dengan baik walaupun berdepan dengan pelbagai kekangan susulan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, nilai jualan produk buatan tempatan itu dilihat terus menunjukkan peningkatan terutama membabitkan pembelian secara dalam talian.

“Setakat ini kita memang berpuas hati dengan kempen yang dilakukan, walaupun berdepan kekangan dan halangan. Kajian mendapati jualan produk kita ada peningkatan dari setahun ke setahun, dengan tahun ini nilai jualan mencecah RM1.78 bilion.

“Sebab itu jugalah kerajaan tidak teragak-agak untuk meluluskan bajet bagi KBBM kerana ia terbukti mendapat sambutan daripada rakyat seluruh negara,” katanya selepas merasmikan kemasukan produk industri kecil dan sederhana (IKS) ke Oppa Mart sempena KBBM peringkat negeri.

Pada program itu, Rosol turut menyerahkan sijil logo Buatan Malaysia kepada Syarikat Berkat Tuah Foodstuff.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ar. Ismail Othman.

Beliau menambah, pihaknya kini memfokuskan untuk meningkatkan jumlah pemilikan penandaan logo Buatan Malaysia yang disifatkan masih rendah dengan hanya 1,345 permohonan diterima dari Januari sehingga Februari lalu.

“Kita berharap selepas pandemik Covid-19 ini berakhir, pelbagai acara promosi dapat dilakukan supaya lebih ramai peniaga tempatan memohon untuk penandaan logo Buatan Malaysia ini.

“Kita mahu lihat produk-produk dengan logo ini dapat masuk sehingga ke pusat beli-belah tersohor seperti di Suria KLCC, Sogo dan sebagainya,” katanya.

Jelasnya, produk dengan penandaan logo itu mempunyai banyak kelebihan termasuk mampu meyakinkan para pengguna untuk membeli produk buatan tempatan, selain memudahkan proses untuk mengeksport produk ke luar negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.