'Kami lebih fokus belajar di sekolah' - Utusan Malaysia

‘Kami lebih fokus belajar di sekolah’

Gambar hiasan. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Proses pembelajaran berterusan pelajar terutama bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan terjejas jika kerajaan memutuskan untuk menutup semua sekolah.

Justeru, sesi persekolahan dan pembelajaran secara bersemuka di sekolah wajar diteruskan berbanding pelajar kembali dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) melalui peranti canggih yang majoriti tidak mempunyai akses ke arah itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mulia, Bandar Tun Razak di sini mendapati rata-rata pelajar memilih untuk meneruskan sesi persekolahan meskipun wujud desakan untuk menutup sekolah buat sementara akibat peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, calon peperiksaan SPM, Muhammad Nazirul Mubin Zahalin, 17, berkata dia lebih bersemangat untuk belajar di sekolah berbanding di rumah kerana sukar menguruskan masa belajar dengan betul.

“Saya bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini dalam silibus baharu, jadi saya perlu ke sekolah untuk mendapatkan bimbingan daripada cikgu supaya pemahaman terhadap sesuatu mata pelajaran itu lebih teratur.

“Di sekolah, pelajar sudah mempunyai masa belajar yang dijadualkan dan yang diselia oleh guru. Saya tidak pasti jika keadaan ini bersesuaian untuk dilakukan di rumah kerana ada sahaja hal yang menganggu konsentrasi untuk belajar,” katanya di sini semalam.

Adila Qistina Azhar, 17, turut bersetuju bahawa proses pembelajaran di sekolah lebih baik dengan capaian internet, lebih ‘sentuhan’ manusia dan hubungan komunikasi dua hala yang berkesan.

“Saya pernah mengalami tekanan perasaan akibat proses pembelajaran yang perlahan dan susah menumpukan perhatian ketika menjalani PdPR di rumah. Lagipun, susah mahu faham sebab cikgu mengajar laju dan tempohnya sangat singkat. Saya pun rindu juga mahu berjumpa dengan rakan sekolah seperti sebelum ini,” katanya.

Punithen Neelamegam, 16, berkata, mata pelajaran berat seperti Matematik Tambahan, Fizik, Biologi, Kimia dan Sejarah memerlukan bimbingan dan tidak mudah ia diajar secara maya.

“Kawasan sekolah juga tenang, pelajar boleh fokus untuk belajar, kerap mengulang kaji pelajaran malah memudahkan sesi soal jawab bersama guru tanpa batas,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 19 sekolah di Selangor diarah tutup mengikut Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berikutan kes jangkitan Covid-19 dikesan berlaku di sekolah terbabit.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Seri Mulia, Mohd. Nazri Yusof, 53, berkata, tiada beza jika sekolah ditutup namun kawasan tumpuan awam terutama bazar Ramadan yang terdedah kepada jangkitan lebih tinggi tetap beroperasi.

“Saya harap kerajaan mengkaji secara menyeluruh, bukan sekadar tutup sekolah tetapi sektor-sektor lain juga perlu kurangkan kadar operasi mereka,” katanya.

Bagi bapa kepada seorang pelajar di sini, Mohd. Dzulkeefli Mohamed, 46, pula berpendapat, sekolah perlu terus dibuka kerana ia adalah tempat paling selamat untuk pelajar kerana semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan diikuti dan dipantau oleh guru. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya