Jualan nombor plat kenderaan UR catat RM2.2 juta - Utusan Malaysia

Jualan nombor plat kenderaan UR catat RM2.2 juta

RAJA Datuk Azwane Raja Ariff (tengah) menunjukan nombor plat UR yang berjaya meraih jumlah bidaan keseluruhan kira-kira RM2.2 juta dalam sidang akhbar keputusan bidaan nombor plat khas Unimap UR 1-UR 9999 di Bangunan Canselori, Kampus Alam Unimap, Pauh Putra, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melakar sejarah tersendiri apabila mencatatkan penjualan siri nombor pendaftaran khas universiti itu mencecah RM2.2 juta hanya dalam tempoh dua bulan.

Penjualan nombor pendaftaran khas UR itu sekali gus menjadikan Unimap sebagai universiti awam pertama yang berjaya merekodkan penjualan tertinggi sepanjang tempoh bidaan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Unimap, Raja Datuk Azwane Raja Ariff berkata, tender penjualan tersebut telah dibuka pada 24 Februari hingga 4 Mac lalu, manakala penjualan melalui laman sesawang www.urplat.com pula dibuka pada 10 Mac dan berakhir pada 31 Mac.

Katanya, nombor plat UR 1 mencatatkan bidaan tertinggi dengan harga RM200,000 diikuti dengan UR 10 (RM130,000); UR 33 (RM65,000) dan UR 55 (RM63,000).

“Sepanjang tempoh tersebut sebanyak 3,000 nombor plat telah habis dijual. Ini merupakan pencapaian yang baik kerana dalam tempoh kira-kira dua bulan sahaja kita boleh merekodkan jualan kira-kira RM2.2 juta.

“Respon yang diterima sangat memberangsangkan kerana jumlah jualan nombor plat khas UR ini adalah yang tertinggi berbanding nombor plat yang pernah dikeluarkan universiti awam yang lain,” katanya dalam sidang akhbar keputusan bidaan nombor plat khas Unimap UR 1-UR 9999 di Bangunan Canselori, Kampus Alam Unimap, Pauh Putra di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, nombor pendaftaran UR 1 yang merupakan bidaan tertinggi tersebut dibeli oleh sebuah syarikat dari Kuala Lumpur, manakala tiga lagi nombor dengan nilai tertinggi dibeli oleh individu.

Tambahnya lagi, setakat ini, masih terdapat 6,000 nombor pendaftaran UR yang boleh dibeli oleh mereka yang berminat.

Sebagai rekod, kombinasi kedua huruf UR ini diambil bagi mewakili huruf U yang merupakan awalan perkataan Unimap manakala R merupakan nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi negeri ini yang juga identiti Perlis.

Universiti lain yang telah melancarkan nombor pendaftaran khas itu ialah Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM); Universiti Malaysia Sarawak (Unimas); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan lain-lain. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya