PETALING JAYA: Senarai pegawai dan anggota polis didakwa bersekongkol dengan kumpulan jenayah terancang diketuai Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee belum diperoleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah JIPS, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya masih dalam proses mendapatkan senarai individu terlibat dan tidak dapat dipastikan jumlah sebenar.
Menurut beliau, JIPS telah berhubung dengan polis Johor bagi mendapatkan maklumat penuh berhubung pembabitan penguat kuasa terbabit.
“Buat masa ini, kita tidak dapat dedahkan siapa yang terlibat memandangkan siasatan masih dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Johor.
“Selepas itu, baru JIPS akan bertindak jika mereka benar menyalahi tata kelakuan dan disiplin pasukan,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, kata Zamri, fokus siasatan JIPS adalah membabitkan salah guna kuasa individu terlibat melindungi dan tidak mengambil tindakan ke atas Geng Nicky kerana menerima habuan.
“Kita sama sekali tidak berkompromi malah tindakan tegas termasuk hukuman buang kerja akan diambil ke atas pegawai dan anggota terbabit dengan Geng Nicky,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud menegaskan pihaknya juga akan mengenakan tindakan ke atas pegawai dan anggotanya yang bersekongkol dengan Nicky.
Katanya, setakat ini beliau tidak dimaklumkan PDRM jika ada tangkapan dalam kalangan pegawai imigresen.
Selasa lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan terdapat 34 pegawai dan anggota penguat kuasa termasuk polis terlibat melindungi jenayah Geng Nicky.
Kesemua individu berkenaan dikesan bergaul selain menjadi ahli serta membantu kumpulan jenayah terancang tersebut selepas menerima suapan.
Dalam 70 serbuan Op Pelican 3.0 di Lembah Klang dari 20 hingga 28 Mac lalu, 118 individu diperiksa dan 68 ditahan, manakala wang tunai lebih RM770,000 dirampas. – UTUSAN ONLINE










