CYBERJAYA: Hasrat negara untuk menjadi hab pendidikan tinggi di rantau ini akan terbantut sekiranya kerajaan hanya mengehadkan 15 hingga 20 universiti yang beroperasi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, agenda itu kini berada di landasan yang betul dan Malaysia mampu menjayakannya.
“Pandangan seperti yang disuarakan segelintir pihak sebelum ini bercanggah dengan hasrat kerajaan yang mahukan Malaysia dikenali di arena pendidikan tinggi global.
“Penubuhan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh misalnya, mampu memberi lebih banyak peluang kepada pelajar tempatan dan antarabangsa untuk melanjutkan pengajian yang mereka minati di situ,” katanya di sini.
Beliau mengulas mengenai pandangan yang mengatakan negara hanya memerlukan 15 hingga 20 universiti termasuk awam dan swasta.
Ini berikutan lambakan universiti yang dilihat menjejaskan kualiti graduan setelah tamat pengajian, malah IPT didakwa hanya mengaut keuntungan, selain menyumbang terhadap kadar pengangguran.
Mohammad Shatar berkata, pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan agensi akreditasi antarabangsa, justeru aspek kualiti tidak wajar dipertikaikan.
Katanya, pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan agensi akreditasi antarabangsa supaya tahap jaminan kualiti pendidikan MQA berada pada tahap yang sama.
“Kita sudah ada jalinan kerjasama dengan banyak agensi akreditasi dari luar negara termasuk dari Australia, New Zealand, Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan negara ASEAN.
“Semua inisiatif ini dijalankan supaya pelajar tempatan mudah menyambung pengajian atau mendapat pekerjaan di luar negara kerana program yang diikutinya diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.
Mingguan Malaysia baru-baru ini melaporkan Malaysia yang mempunyai penduduk sekitar 32 juta orang hanya memerlukan sekitar 15 hingga 20 universiti termasuk awam dan swasta.
Ahli Majlis Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo bagaimanapun berkata, keadaan itu berbeza apabila pertumbuhan universiti dan kolej swasta terlalu banyak sehingga menjadi satu perniagaan kepada pemilik pusat-pusat pengajian tinggi.- UTUSAN ONLINE










