Jangan mulakan perpecahan kaum di sekolah - Utusan Malaysia

Jangan mulakan perpecahan kaum di sekolah

HALIMAH MOHAMED SADIQUE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pihak pengurusan tertinggi sekolah diingatkan agar tidak memulakan bibit-bibit perpecahan disebabkan isu perkauman dalam kalangan pelajar seperti berlaku di sebuah sekolah menengah di Batu Pahat, baru-baru ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, sebaliknya sekolah merupakan tempat yang paling sesuai dan signifikan untuk menyemai semangat perpaduan murid dan pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Katanya, isu sebuah sekolah yang meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran kokurikulum pelajar tingkatan satu yang berlaku perlu diambil berat oleh pihak tertinggi sekolah.

“Pihak Kementerian Pendidikan juga sudah respons dan menyatakan kekesalan atas apa yang berlaku. Saya harap selepas ini pengurusan peringkat sekolah, guru besar, pengetua ambil berat perkara ini.

“Jangan kita mulakan bibit-bibit perpecahan yang kita sendiri tanamkan dalam kalangan pelajar sekolah bermula dari awal lagi dengan perkara-perkara tidak sepatutnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Ihya Ramadan Parlimen Kota Tinggi di sini malam tadi.

Halimah berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan, sekolah merupakan tempat untuk membentuk sikap dengan menerapkan asas hormat menghormati, penerimaan satu kaum dengan kaum lain agar ia bermula dari awal.

“Sepatutnya kita semaikan nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat dengan memulakan dari awal lagi melalui aspek pendidikan awal kanak-kanak, sekolah rendah sehingga ke sekolah menengah,” katanya.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial sebuah sekolah mengeluarkan surat yang meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran aktiviti kokurikulum pelajar Tingkatan 1 yang antaranya menyebut kelab bahasa Cina hanya terbuka untuk pelajar kaum Cina, bola sepak (Melayu), bola keranjang (Cina), ping pong (Cina), bola jaring (Melayu) dan sepak takraw (Melayu).

Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Bentara Luar memohon maaf atas insiden terbabit menerusi Pengetuanya, Abdul Razak Hamid yang mengakui pihaknya terlepas pandang isu perkauman dalam maklumat pendaftaran dan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum selain berjanji ia tidak akan berulang.

Halimah yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, peringatan diberikan Menteri Pendidikan perlu diambil berat dan berharap pihak kementerian akan melakukan pemantauan agar perkara itu tidak berlaku lagi, bukan sahaja dalam bentuk sukan bahkan perkara-perkara lain.

Sementara itu Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berpendapat, kejadian tersebut sebagai kes terpencil dan tidak perlu dijadikan isu, namun beliau berharap perkara itu menjadi pengajaran kepada semua pihak dalam merencana sesuatu panduan.

Jelas beliau, institusi persekolahan sepatutnya menjadi medium dalam usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Bagi saya setelah lebih 60 tahun merdeka, negara kita sesungguhnya sudah capai tahap tiada pengasingan permainan sukan berdasarkan kaum, tidak sepatutnya berdasarkan kaum. Kalau dulu sukan badminton, bola sepak, saya tidak nampak sukan itu milik mutlak sesuatu kaum,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.