Ikan pemangsa terlepas ke Sungai Perak - Utusan Malaysia

Ikan pemangsa terlepas ke Sungai Perak

IKAN pemangsa, baung ekor merah antara spesies yang terlepas ke Sungai Perak dalam kejadian sangkar ternakan ikan pecah di Teluk Intan pada Isnin lalu. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Perikanan Perak percaya pemilik sangkar ikan, sangkar yang pecah akibat dihanyutkan arus deras Sungai Perak dalam kejadian di Teluk Intan baru-baru ini, menternak ikan baung ekor merah tanpa permit.

Pengarahnya, Zaki Mokri berkata, ikan baung ekor merah yang dikenali sebagai ikan pemangsa itu dipercayai diternak secara haram bersama ikan air tawar lain merangkumi pelbagai jenis ikan-ikan tempatan.

Katanya, ikan dalam kategori asing spesies itu tidak dibenarkan diternak dalam sangkar kerana bimbang terlepas ke dalam sungai sekali gus amat berisiko kepada hidupan air tawar.

“Kami memang tidak mengeluarkan permit untuk membawa masuk ikan baung ekor merah tetapi jika ada penternak yang mahu membelanya, perlu merujuk kepada jabatan dahulu.

“Jika boleh pun mungkin diternak dalam tangki tetapi bukan mudah kerana kita perlu membuat penilaian seperti sistem penternakannya dan pembuangan sisa air,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemilik sangkar ikan itu juga dipercayai menternak spesies ikan tersebut di dua atau tiga sangkar lain di Sungai Perak.

Katanya, lawatan dan pemantauan telah dilakukan di lokasi tersebut di mana siasatan lanjut akan dijalankan sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.

“Dalam kejadian itu, sebanyak 250 sangkar ikan pecah dan hanyut hingga mengakibatkan ikan mati dan terlepas ke sungai termasuk ikan baung ekor merah.

“Bagaimanapun ikan ini dibela dan agak jinak serta tidak akan pergi terlalu jauh. Ikan itu akan menunggu diberi makan, jadi kita saran nelayan dan pemilik sangkar memancing atau menjala terus ikan itu supaya spesies tersebut tidak membiak dalam perairan sungai kita,” katanya.

Dalam kejadian sangkar ternakan ikan pecah pada Isnin lalu, beratus ribu ikan seperti tilapia merah, patin, baung dan pelbagai spesies ikan air tawar terlepas ke Sungai Perak selepas lebih 200 sangkar ternakan ikan pecah dihanyutkan arus deras Sungai Perak.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada tali sauh sangkar ikan yang terputus akibat arus deras ketika air pasang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.