fbpx

Hospital Maran penuhi keperluan lebih 134,000 penduduk

ISMAIL Abd. Muttalib (tengah) bersama pemimpin masyarakat dan ketua-ketua jabatan selepas sesi townhall perancangan pembangunan Maran di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Projek Hospital Maran bernilai RM200 juta yang telah mula dilaksanakan antara indikator yang bakal mengubah landskap pembangunan daerah ini yang lebih maju menjelang 2035.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, Hospital Maran antara projek mega untuk menjadikan daerah ini membangun selari dengan kemajuan pesat negara.

Menurutnya, projek itu mendapat peruntukan baharu di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, Hospital Maran berkapasiti 76 buah katil itu akan dibina di atas tanah seluas 20 hektar bagi memenuhi keperluan 134,000 penduduk di sini.

“Hospital Maran dirangka sebuah hospital moden paling hampir dengan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang dilengkapi pelbagai kemudahan kesihatan untuk keperluan semua generasi.

“Hospital ini begitu ditunggu-tunggu masyarakat daerah ini serta kawasan terdekat seperti penduduk di Chenor, Luit, Sri Jaya dan Kuala Sentul,” katanya yang juga Ahli Parlimen Maran pada sesi townhall perancangan pembangunan Maran 2035 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Ismail berkata, selain Hospital Maran, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut melalui Maran yang bakal memberi impak ekonomi dan sosial serta merangsang pembangunan daerah ini.

“Pembangunan pekan kecil seperti Pekan Tajau dan Pekan Kampung Awah turut diberi penekanan kerana menjadi pintu masuk ke rancangan Felda dan berada di laluan jalan Temerloh- Kuantan-Kuala Kumpur,” katanya.

Menurutnya, usaha memakmurkan Maran turut mengambil kira keunikan daerah ini yang memiliki kawasan rekreasi air terjun Teladas, Lubuk Yu, Lubuk Ujid, Taman Tasik Maran, Air Terjun Jerangkang serta warisan tradisional di Chenor.

Katanya, perancangan pembangunan mengambil kira ketidakseimbangan pembangunan antara Bandar Maran dengan Bandar Tun Abdul Razak, Jengka.

Jelasnya, cadangan membina jambatan kedua selepas Jambatan Chenor di Kampung Lubuk Paku atau Serengkam yang merentasi Sungai Pahang turut diambil kira bagi kemudahan penduduk seberang sungai berurusan di Bandar Maran.

×
×