Hakim gagal ambil kira perlakuan Ahmad Husni - Utusan Malaysia

Hakim gagal ambil kira perlakuan Ahmad Husni

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali didakwa gagal membuat penilaian maksimum dan mengambil kira sikap saksi pendakwaan ke-56 iaitu bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ketika memberi keterangan.

Menurut salah seorang peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak selaku perayu, Farhan Read, sewaktu memberi keterangan, Ahmad Husni jelas menunjukkan beliau mempunyai rasa tidak puas hati terhadap bekas ketuanya itu.

“Keterangan SP56 (Ahmad Husni) perlu diambil dengan berhati-hati memandangkan saksi sendiri menunjukkan rasa tidak puas hatinya. Selain menyifatkan penukarannya daripada Kementerian Kewangan ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang membawa kepada peletakan jawatannya, terdapat beberapa isu termasuk dakwaan salah laku seksual dan salah guna kewangan yang lebih bersifat peribadi.

“Adalah satu perkara yang pelik apabila Hakim Mahkamah Tinggi telah bergantung penuh atas keterangan SP56. Bukanlah sesuatu yang tidak munasabah untuk merumuskan bahawa SP56 telah memberi keterangan dengan cara yang memberikan kerosakan teruk pada kes perayu,” katanya.

Ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes membabitkan penyelewengan dana RM42 juta syarikat International Sdn. Bhd., Ahmad Husni menyifatkan dirinya sebagai ‘budak pejabat’ dan penglibatannya hanyalah untuk menandatangani dokumen dan tidak dirujuk untuk membuat keputusan besar.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu ialah tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu. SRC International merupakan syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rayuan tersebut didengar oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Terdahulu, Farhan menghujahkan Hakim Mohd. Nazlan mempunyai keinginan untuk mensabitkan bekas Perdana Menteri itu dengan pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.

Ujarnya, individu yang bertanggungjawab seperti ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil telah melarikan dan mengelakkan daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

“Kelihatan hakim seperti mempunyai satu keinginan untuk mensabitkan perayu (Najib). Hakim mempunyai motivasi untuk mensabitkan perayu. Undang-undang jenayah tidak boleh digunakan untuk untuk mensabitkan perayu, beliau sudah `disabitkan’ dengan (kekalahan) sewaktu pilihan raya terdahulu.

“Yang tinggal adalah perayu. Jadi mahkamah melambakkan segalanya di atas kepala mereka yang tinggal. Hakim ingin menjadikan kes ini sebagai satu pengajaran dan satu-satunya individu yang boleh disabitkan ialah Najib,” hujahnya.

Selepas enam hari berhujah, pihak pembelaan mengakhiri hujahan mereka hari ini. Esok, pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V. Sithambaram akan memulakan hujah balas mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya