PONTIAN: Kenaikan harga makanan ternakan dan kekurangan bekalan ayam menjadi faktor peningkatan harga di pasaran.
Pengarah Urusan NB Poultry Processing Industries Sdn. Bhd., Baharudin Ahmad yang merupakan antara pembekal utama barangan segar itu berkata, harga dedak ayam yang naik mendadak dari RM84 kepada RM106 sekampit memberi kesan kepada para penternak.
Katanya, kenaikan tersebut menyebabkan harga jualan ayam di ladang termasuk pihaknya yang memiliki seramai 20 penternak secara ‘kontrak farming’ terpaksa disusun semula disebabkan kos tambahan itu.
Tambahnya, pengeluaran ayam daripada penternak yang mempunyai perjanjian bekalan dengan pihaknya dianggarkan sejuta ekor sebulan, selain perlu mendapatkan bekalan daripada penternak lain bagi menampung permintaan.
“Sebagai syarikat pemprosesan dan pengedar ayam segar yang beroperasi sejak 1997, kami memasarkan 12 juta ekor ayam sebulan ke beberapa pasar raya besar termasuk peniaga di pasar-pasar awam.
“Kenaikan harga oleh peniaga yang hanya menjual ayam tidak dapat dielakkan kerana mereka menerima dengan harga tinggi daripada pembekal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Parit Baru, Parit Selangor, di sini semalam.
Beliau mengulas kenaikan harga ayam yang kini mencecah RM9.50 sekilogram di pasaran terutama di pasar-pasar awam dan dijangka terus meningkat sehingga Aidilfitri nanti.
Mengulas perkara itu, ujar Baharudin, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, penternak ayam mengalami banyak kerugian dengan harga ayam di ladang sekitar RM2.20 sekilogram.
“Ada antara ladang ayam terpaksa ditutup ekoran kekurangan permintaan ketika itu ditambah dengan ketiadaan pekerja disebabkan penutupan pintu sempadan negara,” jelasnya.
Sementara itu, pihaknya memberi jaminan harga ayam di pasar yang menerima bekalan ayam segar dari NB Poultry Processing atau lebih dikenali dengan jenama Ayam Norliza masih dalam kawalan dan tidak membebankan pengguna.
“Harga di pasar raya seperti Maslee, Econsave, Mydin mahupun outlet kami di Bandar Pontian Kecil dan Nusa Idaman di Johor Bahru tidak melebihi RM7.60 sekilogram kerana ditampung kos barangan lain,” ujarnya.
Menurutnya, Ayam Norliza berkemampuan memproses 6,000 ekor ayam sejam dengan menggunakan peralatan moden di kilang dengan sokongan 198 pekerja termasuk bahagian pentadbiran. – UTUSAN ONLINE










