Bersatu, Pas Perak tubuh jawatan kuasa bersama hadapi PRU-15 - Utusan Malaysia

Bersatu, Pas Perak tubuh jawatan kuasa bersama hadapi PRU-15

RAZMAN ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas Perak hari ini mengumumkan parti itu bersetuju menubuhkan jawatan kuasa bersama dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Malah, Bersatu dan Pas Perak telah mengenal pasti kerusi-kerusi yang berpotensi untuk ditandingi di peringkat negeri dan membentuk jawatan kuasa manifesto bagi Perikatan Nasional (PN) negeri Perak.

Kenyataan bersama Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, perkara itu telah dipersetujui bersama sebagai antara usaha memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua parti itu.

“Tanpa memberi fokus kepada keputusan parti lain, kami bersependapat untuk terus melangkah bersama demi perpaduan, kestabilan politik dan kepentingan agama Islam, bangsa dan negara,” kata kenyataan tersebut yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, Bersatu dan Pas Perak juga menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan seluruh barisan Kabinet beliau.

“Kami juga akan terus mendokong kerajaan negeri Perak, tidak terlalu berpolitik dan akan menitik beratkan perkhidmatan kepada rakyat yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kami berharap semua pihak dapat memelihara perpaduan yang terjalin dengan menjaga sensitiviti sesama sendiri terutama sekali ketika mengeluarkan pandangan, kenyataan dan ucapan,” kata kenyataan tersebut.

Difahamkan, pemimpin kedua-dua parti peringkat negeri itu mengadakan mesyuarat di Pejabat Timbalan Presiden Bersatu di Petaling Jaya, Selangor hari ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya