30,000 murid, pelajar terima manfaat studio digital pendidikan di SPS - Utusan Malaysia

30,000 murid, pelajar terima manfaat studio digital pendidikan di SPS

MANSOR Othman (depan) ketika merasmikan Studio Digital Dato' Haji Mansor Bin Othman di PPD SPS, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Kira-kira 30,000 murid dan pelajar serta 2,500 guru di 56 buah sekolah di dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS) akan menerima manfaat daripada kewujudan Studio Digital Dato’ Mansor Bin Haji Othman di sini.

Studio berharga kira-kira RM40,000 itu merupakan studio digital pendidikan pertama yang diwujudkan di pejabat pendidikan daerah (PPD) di negara ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman yang menjadi pencetus kepada idea penubuhan studio itu berkata, projek tersebut mengambil masa hanya sebulan untuk disiapkan dengan kerjasama sebuah syarikat teknologi tempatan, Border Global Sdn. Bhd..

“Saya berharap projek ini akan menjadi ikutan kepada PPD lain khususnya di Pulau Pinang selepas ini,” katanya selepas merasmikan studio itu di PPD SPS, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, studio tersebut dapat membantu guru menghasilkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara lebih efisien.

Pada masa sama tambah beliau, mutu penghasilan bahan pengajaran serta pembelajaran dalam bentuk video berkualiti tinggi yang dihasilkan melalui proses rakaman juga dapat ditingkatkan di situ berbanding sebelum ini.

“Guru-guru yang mempunyai kepakaran dalam mata pelajaran tertentu turut berpeluang merakamkan kaedah pengajaran di sini (studio) dan hasilnya boleh ditonton oleh murid dan pelajar menerusi saluran YouTube.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu mereka (murid dan pelajar) belajar secara berterusan sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan di SPS,” ujar beliau.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.