26 notis terhadap peniaga dan pemborong ayam - Utusan Malaysia

26 notis terhadap peniaga dan pemborong ayam

PENIAGA, Shahran Osman, 54, mengasingkan bahagian ayam yang dijualnya di Pasar Awam Larkin, Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/ MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 26 notis dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor terhadap 20 peniaga runcit dan enam pemborong ayam di sekitar pasar awam di bandar raya ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, notis dikeluarkan hasil pemeriksaan susulan ekoran aduan berlaku kenaikan harga ayam.

Katanya, kesemua notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 itu dikeluarkan menerusi pemeriksaan sejak hari pertama Ramadan bagi tujuan siasatan lanjut dalam mendapatkan maklumat kenaikan harga sekali gus mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

“Berdasarkan rekod, dari awal tahun sehingga semalam (16 April), sebanyak 4,165 premis diperiksa KPDNHEP Johor membabitkan 3,542 peruncit, 518 pemborong dan 105 pengilang di seluruh negeri ini.

“Susulan pemeriksaan itu, sebanyak 124 notis mengikut AKHAP 2011 turut dikeluarkan kepada peniaga bagi tujuan siasatan lanjut dalam mendapatkan maklumat kenaikan harga sekali gus mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Chong berkata, peniaga yang disyaki melakukan aktiviti mencatut akan disiasat dan sekiranya sabit kesalahan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 AKHAP 2011.

Katanya, individu yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan denda sehingga RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua.

Jelasnya, bagi syarikat pula, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM500,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua didenda sehingga RM1 juta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya