Wang RM17.9 juta dikeluarkan tanpa persetujuan Lembaga Pemegang Amanah - Utusan Malaysia

Wang RM17.9 juta dikeluarkan tanpa persetujuan Lembaga Pemegang Amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah melakukan pecah amanah kerana mengeluarkan wang RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi tanpa persetujuan lembaga pemegang amanah yayasan itu.

Penolong Penguasa Muhammad Fazli Zulkifli, 36, berkata, pemindahan wang Yayasan Akalbudi daripada akaun Affin Bank ke dalam akaun Maybank Tetuan Lewis & Co. (pemegang amanah yayasan itu) dibuat atas arahan Zahid yang juga pemilik yayasan tersebut.

Minggu lalu, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu memberitahu, RM8.6 juta digunakan untuk membayar deposit saham kepada Ri-Yaz Assets Sdn. Bhd. manakala baki RM9.3 juta dipindahkan untuk membeli sijil simpanan tetap.

Menurutnya, pembayaran deposit itu melibatkan anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah bagi membeli 60 peratus saham milik pemegang saham Ri-Yaz Assets, Tan Sri Rashid Abdul Manaf.

Muhammad Fazli berkata, rakaman kenyataan beramaran Zahid kepada SPRM menyatakan Yayasan Akalbudi berminat untuk melabur dalam urusan pembelian hotel di Bali, Indonesia walhal kenyataan itu bercanggah dengan kenyataan saksi-saksi lain.

Menurutnya, saksi-saksi tersebut sebaliknya menyatakan, anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah yang berminat untuk melabur manakala urusan pembayaran menggunakan wang yayasan.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi pada sesi pemeriksaan semula, saksi pendakwaan ke-93 itu menyatakan, pengurusan hotel berkenaan mempunyai masalah yang diakui sendiri oleh Rashid.

Ujar Muhammad Fazli, Rashid berkata jalan penyelesaian bagi menyelamatkan hotel itu adalah sama ada hotel itu dijual atau beliau (Rashid) menjual pegangan sahamnya.

Saksi berkata, perbincangan yang diadakan mencapai kata sepakat bahawa Nurulhidayah berminat untuk melabur dalam Ri-Yaz Assests walaupun status kewangan syarikat itu kritikal kerana masalah pengurusan hotel berkenaan.

Ahmad Zahid, 68, sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Penolong Kanan Penguasa SPRM, Mohd. Tharuzi Mohd. Nor berkata, wang RM5.9 juta daripada Tetuan Lewis & Co. telah dibayar kepada Pengarah Bee Garden Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Lee Kim Yew atas arahan Zahid berhubung pembelian dua lot banglo di Country Heights, Kajang.

Saksi itu yang juga pegawai penyiasat kes berkata, berdasarkan siasatan, kedua-dua banglo itu kemudian dipindah milik kepada Yayasan Al-Falah
yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi yang merupakan adik kandung Zahid.

Ujar Mohd. Tharuzi, walaupun pembelian kedua-dua lot diuruskan oleh Tetuan Lewis & Co. ( pemegang amanah Yayasan Akalbudi), namun tiada
apa-apa dokumen dikeluarkan berhubung pembelian itu.

Ketika membacakan kenyataan saksinya kepada mahkamah, saksi berkata, Zahid telah menerima lapan keping cek berjumlah RM7 juta iaitu tujuh keping cek daripada syarikat Mastoro Kenny IT dan sekeping cek daripada Mubarak Hussain.

Kesemua lapan keping cek itu kemudian dimasukkan ke dalam akaun Lewis & Co. di Maybank Berhad yang digunakan untuk membeli sijil simpanan
tetap dan simpanan tetap berjumlah RM7 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya