fbpx

UMNO letak empat syarat bentuk jajaran baharu

MOHAMAD Hasan diiringi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berjalan masuk ketika hadir merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka PWTC), Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan meletakkan empat syarat dalam membentuk pembaikan politik baharu.

Berucap merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini, beliau berkata, syarat pertama mestilah menguntungkan UMNO, orang Melayu dan Islam.

“Mesti. Tidak ada kompromi. Perjuangan dan kepentingan orang Melayu dan Islam tidak akan ditinggalkan dan dikompromikan oleh UMNO. Apa guna memegang kuasa kalau Melayu binasa. Apa guna bekerjasama kalau Melayu kekal di takuk lama,” katanya.

Mohamad berkata, syarat yang kedua mestilah melonjakkan UMNO menjadi induk dalam pemerintahan negara.

“”Kita nak jadi seperti kelab bola sepak Liverpool yang menguasai Liga Inggeris. You’ll never walk alone.

“UMNO mesti memimpin segala bentuk perkongsian kuasa atau kerjasama politik untuk mengurus negara. Tiada pemerintahan, tanpa UMNO sebagai induk dan terajunya,” katanya.

Untuk syarat ketiga, beliau berkata, pembaikan politik mesti memberikan kestabilan politik yang lestari.

“Bukannya sekadar sebuah kerjasama terdesak, yang bersifat menangguk di air keruh, dan dipenuhi dengan gunting dalam lipatan. Sehinggakan, segala prinsip dan pendirian, terpaksa digadaikan berkali-kali.

“Kita tidak mahu ada lagi aktiviti kotor melelong ahli Parlimen. Tidak ada lagi ugut-mengugut. Tidak ada lagi senario mempergunakan darurat demi kelangsungan kuasa politik. Tidak ada lagi percaturan tidak bermoral, yang melingkupkan nilai dalam berpolitik dan amalan demokrasi,” ujarnya.

Bagi syarat keempat, Mohamad berkata, pembaikan politik mestilah bersifat terangkum dan menjadi wahana keadilan dan kebaikan untuk semua iaitu orang Melayu, bukan Melayu serta Malaysia.

“UMNO akan menyantuni semua dan meneroka persefahaman dengan semua. Parti politik atau bukan parti politik, Kerajaan atau bukan kerajaan, rakyat biasa atau golongan pemodal, yang tua atau remaja. Semua harus menjadi pemegang taruh dalam pembaikan politik ini.

“Ringkasnya, sebarang pembaikan politik yang kita mahu ikhtiarkan, mesti menjadikan UMNO sebagai teras, Malaysia sebagai asas dan kestabilan politik sebagai matlamat, yang dipertahankan bersama, secara saksama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI