Tukang urut ketuai geng mahu bunuh Tun M - Utusan Malaysia

Tukang urut ketuai geng mahu bunuh Tun M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga individu yang `bercadang’ membunuh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya membabitkan kumpulan kecil dan mereka tiada kemampuan ke arah melakukan keganasan.

Tiga individu tersebut membabitkan dua lelaki tempatan iaitu tukang urut, pemandu grab dan seorang lelaki Indonesia yang bekerja sebagai buruh binaan.

Mereka ditahan bersama enam yang lain dalam operasi polis Cawangan Khas Bukit Aman di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang pada 6 dan 7 Januari tahun lalu.

Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, sumber berkata, kumpulan `bercadang’ membunuh Dr. Mahathir itu diketuai tukang urut berusia 36 tahun yang ditubuhkan Oktober 2019.

“Dalam tempoh ditubuhkan, tukang urut itu sering berbincang dan mempromosikan ideologi salafi jihadist bersama dua lagi ahli kumpulannya serta sering merancang untuk berkomplot untuk melakukan serangan.

“Kumpulan terbentuk kerana berasaskan hanya semangat jihad, namun keupayaan mereka terhad menjadikan ancaman mereka lebih berbentuk retorik berbanding ancaman sebenar,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Berikutan tangkapan tersebut, sumber berkata, dua lelaki tempatan itu sudah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun manakala lelaki Indonesia berusia 30 tahun dijatuhkan hukuman penjara empat tahun.

“Lelaki Indonesia masuk secara sah ke negara ini pada 26 Februari 2019 dan menggunakan pas pekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu kenyataan memaklumkan, ketika tangkapan, dua helai bendera kumpulan Daesh, sebilah parang dan pisau turut dirampas.

Kata beliau, kesemua yang ditangkap adalah anggota Anshorullah at Tauhid, sel kumpulan Daesh.

“Siasatan PDRM juga mendapati tiga suspek yang ditahan mengeluarkan ancaman bunuh kepada Dr. Mahathir dan beberapa menteri Kabinetnya kerana mengamalkan kerajaan thoghut.

Pada Khamis lalu, media melaporkan, Dr. Mahathir terselamat daripada cubaan dibunuh seorang individu yang merancang melakukan serangan secara solo ke atas bekas Perdana Menteri itu sebelum negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas.

Selain Dr. Mahathir, turut diancam dibunuh adalah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa dan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Perkara itu didedahkan Penolong Pengarah Bahagian Anti-pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azman Omar dalam satu forum maya anjuran Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia berkenaan radikalisme dan ekstremisme. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya