PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penipuan menjual sarung tangan dengan menahan 10 individu di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor pada 15 Mac lalu.
Kesemua suspek terdiri daripada lapan lelaki tempatan, wanita tempatan serta seorang wanita warga Mongolia itu ditahan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, siasatan mendapati tersebut mendalangi penipuan pelitup muka dan sarung tangan dengan menawarkan harga jauh lebih murah.
Katanya, sindiket turut menggunakan nama syarikat pengeluar sarung tangan terkemuka bagi menarik minat pembeli dari dalam dan luar negara.
“Sindiket ini akan memberi pelbagai alasan sehingga pembeli perlu membuat pembayaran hingga mencecah jutaan ringgit. Bagaimanapun, sindiket kemudian akan menghilangkan diri dan gagal dihubungi.
“Dalam serbuan itu, kita merampas 12 telefon bimbit, 14 kad bank, satu tablet, dua buku cek, lapan dokumen, tiga kenderaan, satu dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan wang tunai berjumlah RM6,106,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, siasatan ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan. Tindakan siasatan mengikut jenayah pengubahan wang haram (AMLA) juga akan diambil.
Jelasnya, selain itu, sebanyak 98 kes membabitkan kerugian berjumlah lebih RM120 juta diterima pihaknya sehingga 14 Mac lalu dan berjaya mengesan beberapa individu serta syarikat yang terbabit dalam kes penipuan penjualan sarung tangan hasil pemantauan dan risikan dilakukan.
“Pandemik Covid-19 menyebabkan permintaan luar biasa bagi pembekalan dan penjualan barang keperluan seperti pelitup muka serta sarung tangan di seluruh dunia sekali gus dilihat sebagai peluang kepada sindiket penipuan untuk mengaut keuntungan dengan memperdaya mangsa melalui penjualan sarung tangan tidak wujud.
“Malah, sindiket penipuan penjualan sarung tangan menjadi satu aliran jenayah yang makin meningkat kerana permintaan tinggi dari dalam dan luar negara,” katanya.
Tambah Zainuddin, sindiket didalangi warga tempatan itu akan menggunakan kaedah memproses dan membungkus semula sarung tangan terpakai untuk dijual bagi pasaran terbuka, namun, sebenarnya aktiviti penjualan itu tidak wujud sama sekali,” katanya.
Ujarnya, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan tawaran jualan barangan murah daripada pihak yang tidak dapat dipastikan kesahihannya selain sentiasa membuat semakan ketulenan transaksi dengan memastikan urusan jual beli dijalankan melalui perjanjian dan kaedah diperakui.
“Orang ramai disarankan supaya membuat semakan pengesahan akaun dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun berkenaan pernah terbabit atau tidak dalam kes penipuan sebelum membuat transaksi pembayaran.
“Sila laporkan kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 jika anda mempunyai apa-apa maklumat berkaitan sindiket penipuan yang terdapat di media sosial,” katanya. -UTUSAN ONLINE