Tiada bukti barang rampasan duit 1MDB - Utusan Malaysia

Tiada bukti barang rampasan duit 1MDB

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang bukti menunjukkan bahawa wang sebanyak RM114 juta hasil rampasan di salah sebuah unit kondominium di Pavilion Residence pada Mei 2018 adalah wang yang diseleweng daripada dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut peguam, Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili parti UMNO, adalah sangat penting dan kritikal pegawai penyiasat menunjukkan bukti dokumen seperti penyata bank bagi menunjukkan aliran wang daripada 1MDB atau mana-mana anak syarikat itu.

“Rumusan dibuat oleh Superintenden Foo Wei Min yang menyatakan bahawa oleh kerana wang tersebut dijumpai di dalam 35 buah beg bersama-sama barang kemas, jam tangan mewah dan beg-beg berjenama maka secara automatik ia adalah wang yang diselewengkan daripada 1MDB. Dengan hormatnya Yang Arif, rumusan Superintenden Foo ini sangat tidak logik.

“Ketiadaan dokumen-dokumen tersebut juga menjadikan tuntutan pemohon tidak disokong oleh sebarang bukti,” ujar peguam tersebut.

Hariharan berhujah demikian dalam permohonan Kerajaan Malaysia untuk melucutkan aset dianggarkan bernmilai RM680 juta milik Obyu Holdings Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik premis kondominium tersebut.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan UMNO sebagai pihak ketiga yang berkepentingan menuntut wang RM114 juta yang dikatakan merupakan dana sumbangan politik kepada parti berkenaan bagi pembiayaan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14.

Najib merupakan Presiden Umno pada ketika itu.

Sementara itu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, rampasan wang dan ratusan barangan mewah daripada sebuah unit kediaman di Pavilion Residence adalah salah dan merupakan satu pelanggaran prosedur yang disengajakan.

Sehubungan itu, barang rampasan itu peru dipulangkan kepada pemilik asal.

Selepas pihak-pihak selesai berhujah, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 29 Mac ini untuk pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi untuk membalas hujahan-hujan tersebut.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan untuk melucut hak aset yang dikatakan bernilai RM680 juta yang disita dari premis milik Obyu Holdings yang dimiliki Tan Sri Bustari Yusof.

Dalam notis usul yang difailkan terhadap Obyu Holdings, kerajaan antara lain menyita sejumlah 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 unit aksesori jam tangan, 234 unit cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan lucut hak harta Obyu Holdings mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.