Tak guna bubar Parlimen jika masih boleh lompat parti - Utusan Malaysia

Tak guna bubar Parlimen jika masih boleh lompat parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembubaran Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan langkah terbaik menyelesaikan krisis politik tanah air selagi negara belum melakukan proses pembersihan undang-undang yang menyebelahi politikus.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, justeru itu Perlembagaan Persekutuan untuk menghentikan amalan lompat parti dan akta tertentu yang menghalang kebebasan berpolitik wajar dipinda dengan segera.

Beliau berpandangan, Yang di-Pertuan Agong tidak perlu melantik Perdana Menteri baharu atau membubarkan Parlimen sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mendapat sokongan ahli Parlimen, sebaliknya Seri Paduka boleh mentadbir negara ini selaras Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di bawah Proklamasi Darurat.

“Yang Di-Pertuan Agong dengan nasihat satu jawatan kuasa diwujudkan kelak boleh mentadbir negara ini sementara PRU-15 diadakan. Sepanjang tempoh ini, proses pembersihan undang-undang hendaklah dilakukan termasuk menggubal undang-undang antilompat parti agar tiada berlaku lagi adegan wakil rakyat melompat pada masa depan.

“Malah Akta Pertubuhan perlu diletakkan di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbanding kini Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan ia sekali gus mengelakkan mendapat campur tangan politik dalam pendaftaran parti politik. Ini amat penting bagi menutup lubang yang menghalang prinsip demokrasi daripada terus berleluasa,” katanya.

Desas-desus pilihan raya akan berlangsung dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan sejurus Perhimpunan Agung UMNO 2020 sebulat suara memberikan mandat kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk menentukan tempoh kepada UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya tidak membubarkan Parlimen sebelum atau selepas tempoh darurat pada 1 Ogos ini.

Dalam pada itu, Mohamed Haniff Khatri menjelaskan situasi itu hanya berlaku sekiranya Muhyiddin gagal memperoleh sokongan ahli Parlimen dan 39 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada kerajaan pimpinan beliau dalam masa terdekat.

Katanya, jika keadaan tersebut terjadi, Yang Di-Pertuan Agong selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan mempunyai tiga pilihan iaitu meminta Muhyiddin meletak jawatan dan melantik Perdana Menteri baharu, membubarkan Parlimen atau Seri Paduka terus mentadbir negara dengan nasihat satu badan penasihat,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, Ogos adalah waktu terbaik membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU-15 dengan melihat ketidakstabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) setelah UMNO berhasrat menarik sokongan jika pilihan raya umum gagal diadakan selepas tempoh darurat berakhir pada 1 Ogos.

Namun sebaliknya kata beliau, perkara itu bergantung kepada iltizam politik dan kemahuan kerajaan sedia ada dengan melihat kepada potensi kemenangan sama ada boleh menang atau tewas dalam pilihan raya umum.

“Dalam mana-mana kerajaan, mereka akan ambil kira terlebih dahulu waktu sesuai untuk mengadakan pilihan raya termasuk tahap sokongan rakyat. Malah berdasarkan satu kajian, UMNO dan Barisan Nasional (BN) berpeluang menang sekurang-kurangnya 82 kerusi Parlimen dan boleh menjadi kuasa dominan berbanding parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kajian ini boleh dijadikan penanda aras kerajaan sedia ada sama ada berani untuk membubarkan Parlimen atau tidak. Walau bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan Muhyiddin untuk mengadakan pilihan raya pada Ogos atau waktu lain difikirkan sesuai,” katanya.

Sebaliknya, ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji memaklumkan, sewajarnya ialah kerajaan PN pimpinan Muhyiddin perlu berani untuk segera membuka Parlimen terlebih dahulu dengan tarikh pembubaran Dewan Rakyat wajar diperdebatkan secara terbuka.

Ujarnya, ruang demokrasi berparlimen tidak boleh ditutup dengan begitu sahaja demi mengekalkan kuasa kerajaan.

“Sama ada ia perlu diadakan atau tidak, ia perlu diputuskan dalam Parlimen jika kerajaan berani berbuat demikian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN