Projek Wakaf Air KASA kumpul RM2.4 juta - Utusan Malaysia

Projek Wakaf Air KASA kumpul RM2.4 juta

TUAN Ibrahim Tuan Man (kiri) meninjau takungan air bersama penduduk, Wakiman Sarno sempena Majlis Penyerahan Projek Pertama Wakaf Air Kepada Penduduk Kampung Melayu Seelong, di Senai, Johor. -UTUSAN/ BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Kementerian Alam Sekitar dan Air akan menyerahkan empat lagi projek perintis Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air (Wakaf Air) kepada penerima dalam tempoh Mac hingga April tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek itu melibatkan negeri Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan yang dijayakan menerusi hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk individu perseorangan.

“Projek perintis Wakaf Air ini ada lima, satu daripadanya telah siap dan diserahkan kepada 16 keluarga penerima di Kampung Melayu, Seelong, sementara empat lagi membabitkan seramai 200 penduduk di Selangor, sebuah surau di Perak, 100 di Pahang dan 200 yang lain di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan sempena Majlis Penyerahan Projek Pertama Wakaf Air kepada penduduk di Kampung Melayu, Seelong, Senai, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman.

Menurut Tuan Ibrahim, projek wakaf yang dilancarkan pada 17 Disember lalu telah berjaya mengumpul sebanyak RM2.4 juta sumbangan pelbagai pihak.

“Setiap projek Wakaf Air melibatkan peruntukan tidak melebihi RM50,000 dan sasaran kita adalah untuk menggunakan kesemua wang sumbangan tersebut untuk melaksanakan projek ini di seluruh negara.

“Manfaatnya akan diterima mereka yang mempunyai masalah mendapatkan bekalan air terawat,” ujarnya lanjut.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, hanya satu aduan berkaitan masalah ketiadaan air diterima dalam tempoh cuaca panas ketika ini melibatkan kawasan di Baling, Kedah.

Katanya, perkara itu sedang dipantau pihaknya dan langkah bersesuaian akan diambil manakala Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn. Bhd. akan menyalurkan air segera kepada penduduk melalui lori tangki yang dihantar terus ke kediaman penduduk.

Jelasnya, kerajaan akan terus memantau situasi cuaca panas yang berlaku bulan ini selain turut memantau punca-punca air serta empangan.

“Kita ada beberapa pelan kontigensi untuk mengatasi masalah ini, termasuklah membangunkan beberapa lagi Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di seluruh negara sebagai satu pelan kontigensi sekiranya berlaku musim panas.

“Fokus kita adalah untuk membina di kawasan berhampiran dengan Loji Rawatan Air supaya kos rawatan air itu lebih jimat berbanding ambil terus dari sungai. Sebenarnya negara kita tidak mempunyai masalah bekalan air, cuma apabila situasi seperti banjir ia perlu ditakung, jadi untuk masa depan kita akan memperbanyakkan TAPS,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya