Permaisuri Johor yakin penerima manfaat kurniaan komputer riba - Utusan Malaysia

Permaisuri Johor yakin penerima manfaat kurniaan komputer riba

Antara penerima sumbangan komputer riba yang disampaikan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yakin golongan pelajar yang merupakan penerima bantuan komputer riba akan dapat memanfaatkan kurniaan berkenaan sebaik mungkin.

Titah baginda, komputer riba itu bukan sahaja membantu pembelajaran di rumah, tetapi juga di sekolah.

“Saya amat berharap kurniaan komputer riba ini dapat membantu melancarkan proses pembelajaran baik di rumah mahu pun di sekolah.

“(Usaha ini) demi meraih kecemerlangan akademik untuk masa depan yang lebih cerah,” titahnya kepada Royal Press Office (RPO) seperti yang dimuat naik dalam laman Facebook The Royal Johor.

Tambah kenyataan itu, Permaisuri Johor yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor prihatin berkenaan isu dan cabaran semasa pendidikan termasuk proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Baginda berkenan agar dikurniakan komputer riba kepada pelajar-pelajar berpotensi tinggi daripada keluarga B40 yang tersenarai di dalam Senarai e-Kasih Daerah Johor Bahru,” tambah kenyataan itu.

Pada 3 Februari lalu, edaran fasa pertama dimulakan dan sebanyak 53 komputer riba diedarkan kepada penerima hasil perbincangan bersama pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan juga Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

Seterusnya, fasa kedua sesi penyerahan komputer riba yang memanfaatkan 100 orang penerima daripada Daerah Johor Bahru dimulakan pada 24 Februari lalu, melibatkan penerima daripada Sekolah Menengah (P) Sultan Ibrahim, SMK Taman Tun Aminah, SMK Dato’ Penggawa Timur, SMK Taman Universiti 1 dan juga beberapa sekolah lain di daerah Johor Bahru.

“Pihak Yayasan juga mengambil kesempatan merakamkan sekalung penghargaan kepada YTL Corporation Berhad, Bidari Kekal Sdn. Bhd., Sunway Iskandar Puteri, SAJ Ranhill Berhad serta para penyumbang lain yang telah menjayakan usaha murni ini demi memastikan kelancaran proses pembelajaran di waktu penularan pandemik Covid-19 ketika ini,” menurut kenyataan itu lagi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya