KUALA LUMPUR: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terutama golongan berpendapatan rendah (B40) yang mengeluarkan wang simpanan i-Sinar tanpa perancangan khusus mencetuskan kekhuatiran dalam kalangan pakar ekonomi.
Ini kerana mereka terdedah untuk boros selain mengakibatkan hidup melarat selepas bersara disebabkan wang tabungan berkurangan untuk menampung usia persaraan.
Statistik KWSP menunjukkan 54 peratus pencarum berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang RM50,000 bagi menampung kehidupan selepas bersara manakala hanya 34 peratus lagi akan mencapai tahap simpanan asas sebanyak RM240,000.
Ini berikutan tanpa literasi kewangan yang teratur, pencarum dikhuatiri tersilap langkah jika terus berbelanja secara tunai tanpa kawalan kendiri pada ketika simpanan KWSP ‘cukup-cukup makan’
sahaja sekali gus mengakibatkan mereka tiada simpanan pada masa akan datang.
Pakar ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berpandangan, golongan B40 yang lemah dalam soal pengurusan kewangan kemungkinan terjejas manakala golongan
berpendapatan pertengahan (M40) dan berpendapatan tinggi (T20) dijangka tidak mengalami kesan ketara.
“Apabila golongan B40 terpaksa mengeluarkan duit simpanan mereka, ia tidak akan bertahan lama dan mahu ‘topup’ semula simpanan tersebut akan mengambil masa panjang sebab caruman sangat kecil setiap bulan. Kalau keluarkan duit itu, harap ia digunakan untuk perkara berfaedah seperti membuat modal perniagaan kecil-kecilan.
“Kalau perlu sangat barulah keluarkan. Sebab kita semua tidak dapat pastikan berapa lama pandemik Covid-19 ini akan berpanjangan dan nanti masalah kewangan akan berterusan,” katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Pejabat KWSP kelmarin diserbu pencarum yang mahu mengeluarkan wang simpanan selepas kerajaan membenarkan pengeluaran tanpa syarat menerusi skim i-Sinar.
Senada dengan beliau, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan sudah memudahkan cara dan selebihnya terserah kepada pencarum membuat
keputusan.
“Letaklah mana lebih utama. Lunaskan komitmen yang perlu. Bagi mereka yang mahu membelanjakan wang itu untuk kecemasan tiada masalah cuma jangan terlampau banyak pengeluarannya.
“Bagi mereka yang mahu mencuba nasib untuk berniaga boleh juga tetapi kena faham perniagaan yang diceburi,” katanya.