Peguam lancar kempen pertahan hak penghantar makanan - Utusan Malaysia

Peguam lancar kempen pertahan hak penghantar makanan

NG Kian Nam (tengah) dalam sidang akhbar pelancaran Kempen Mempertahankan Hak Penghantar Makanan di Malaysia di Seremban hari ini. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keluhan golongan penghantar makanan mendapat perhatian apabila seorang peguam melancarkan kempen memperjuangkan nasib golongan tersebut.

Ng Kian Nam yang juga Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik MCA Kebangsaan berkata, menerusi Kempen Mempertahankan Hak Penghantar Makanan di Malaysia itu,
beliau akan memperjuangkan pindaan polisi untuk mengiktiraf status penghantar makanan sebagai pekerja di bawah Akta Pekerjaan 1955.

Katanya, ia bagi memberi kesedaran bahawa pekerja penghantar makanan perlu menikmati hak sama dengan golongan pekerja lain termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso oleh majikan masing-masing.

Selain itu, katanya, ia termasuklah berkaitan isu gaji minimum, cuti tahunan dan diberhentikan kerja secara tidak adil.

“Kami dapati pelbagai keluhan diutarakan golongan penghantar makanan ini, mereka salah satu tenaga kerja utama bagi pekerjaan ekonomi gig di Malaysia yang dianggarkan kini mencecah 40,000 orang.

“Oleh itu, kami membuat keputusan pada hari ini untuk melancarkan kempen ini dan ia terbuka kepada penyertaan penghantar makanan tanpa kira kaum, agama, umur, tempat asal dan jantina,” katanya dalam sidang akhbar di Seremban 2 dekat sini hari ini.

Tambah Kian Nam, kewujudan kempen itu juga akan memberikan fokus untuk meningkatkan kesedaran menjaga kebajikan atau keselamatan penghantar makanan.

Ia termasuklah daripada ditimpa kemalangan jalan raya kerana mereka ialah antara golongan kerja yang paling mudah terdedah risiko itu.

“Kami juga mahu memperjuangkan perkembangan dan persaingan bidang perkhidmatan penghantar makanan ini ke arah yang lebih sihat, harga perkhidmatan yang lebih kompetitif serta mampu dibiayai oleh kebanyakan pengguna di negara ini.

“Pengusaha bidang perkhidmatan ini mengambil kesempatan dalam tempoh pandemik ini untuk mengaut keuntungan berlipat-ganda, kini tibalah masanya mereka menyumbang balik kepada pekerja mereka dengan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai majikan dan menawarkan lebih banyak perlindungan asas kepada mereka,” tambahnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya