Pas tidak rugi UMNO bergerak solo - Utusan Malaysia

Pas tidak rugi UMNO bergerak solo

P. SIVAMURUGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas tidak rugi apa pun jika rakan strategiknya dalam Muafakat Nasional (MN), UMNO bertindak untuk bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Penganalisis politik, Dr. Sivamurugan Pandian berkata, parti Islam itu bertanding sendirian dalam PRU-14 dan memenangi 18 kerusi tanpa bantuan mana-mana parti.

“Pas tidak perlu fikir banyak, bagaimanapun mereka tetap akan bertanding di kerusi tradisi.

“Tetapi kekuatan mereka telah diuji sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) dulu, gabungan UMNO dan Pas membawa kemenangan besar. Jadi seharusnya rundingan Muafakat Nasional ini perlu diteruskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas Sivamurugan, rundingan UMNO dan Pas kali ini sudah pasti melibatkan isu pembahagian kerusi supaya tidak berlaku pertembungan antara kedua-dua parti itu di mana-mana kawasan.

“Mungkin UMNO tidak perlu meletakkan calon di kerusi tradisi Pas. Tetapi dalam hal ini, Pas perlu membuat keputusan sama ada untuk memilih UMNO mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” ujarnya.

UMNO sebelum ini memutuskan hubungan dengan Bersatu akan berakhir menjelang PRU nanti, sekali gus Pas kini dilihat tersepit antara kedua-dua parti itu yang sebelum ini bekerjasama menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Bersatu adalah pemerintah dan Bersatu juga memberi layanan yang baik kepada Pas. Pas dalam masa yang sama perlu menghormati Bersatu kerana parti itu yang memberi peluang kepada mereka untuk menduduki tempat dalam Kabinet hari ini.

“Pas merasakan Bersatu sebagai pemerintah, mungkin ada kelebihan. Sebab itu Pas tidak membuat sebarang keputusan sehingga hari ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN