Nga-Ngeh kekal terajui DAP Perak - Utusan Malaysia

Nga-Ngeh kekal terajui DAP Perak

THOMAS Su (kanan) ditenangkan perwakilan selepas membantah tindakan penganjur membuka pendaftaranmelebihi masa ditetapkan semasa Konvensyen DAP Perak di hari ini. -UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Gandingan Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham mengekalkan teraju kepemimpinan DAP Perak apabila memenangi pemilihan jawatan kuasa kuasanya pada Konvensyen parti itu, di sini semalam dengan mengetepikan cabaran kumpulan diketuai Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran.

Malahan, Kor Ming yang merupakan Ahli Parlimen Teluk Intan menerima undi tertinggi iaitu sebanyak 1,228 manakala Koo Ham kelima paling banyak iaitu 1,216 undi.

Thomas dan Kulasegaran mengalami kekalahan teruk apabila masing-masing menerima hanya 550 dan 540 undi.

Mesyuarat pertama jawatan kuasa yang memenangi pemilihan semalam turut mengumumkan Kor Ming kekal sebagai Pengerusi DAP negeri manakala Koo Ham kekal sebagai Penasihat DAP Perak.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar yang turut mendapat undi tertinggi iaitu 1,228 yang diumumkan sebagai Timbalan Pengerusi manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari dan ADUN Sungkai, A. Sivanesan sebagai Naib Pengerusi.

Kesemua 15 keseluruhan ahli jawatan kuasa DAP negeri kali ini dikuasai oleh kumpulan Nga dengan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar mencatat undian tertinggi, sama jumlah dengan undi yang diterima oleh Kor Ming iaitu 1,228.

Abdul Aziz yang meraih undian tertinggi dalam pemilihan sebelum ini, menerima undian ketiga tertinggi iaitu 1,224 undi manakala Sivanesan 1,223 undi.

Lain-lain calon dari kumpulan Nga dan Ngeh yang menduduki senarai ahli jawatan kuasa DAP negeri ialah ADUN Pantai Remis, Wong May Ing (1,220); ADUN Menglembu, Chaw Kam Foon (1,206); Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh (1,189); ADUN Keranji, Chong Zhe Min (1,182); ADUN Bercham, Ong Boon Piow (1,181); ADUN Kepayang, Ko Chung Sen (1,175); ADUN Pasir Pinji, Lee Chuan How (1,170); ADUN Jalong, Loh Sze Yee (1,163); ADUN Jelapang, Cheah Poh Hian (1,145) dan Ahli Parlimen Taiping, Teh Kok Lim sebanyak 1,102 undi.

Secara keseluruhan, proses pengundian berjalan lancar walaupun berlaku sedikit kekecohan sebelum undian bermula.

Kekecohan tercetus berikutan dakwaan wujud ‘pengundi hantu’ yang dibangkitkan oleh Thomas Su dan Kula apabila pihak penganjur terus membenarkan perwakilan membuat pendaftaran untuk mengundi lebih daripada masa yang ditetapkan.

Menurut seorang jurucakap dari kumpulan Kula dan Thomas Su , sepatutnya pendaftaran untuk perwakilan yang mengundi hanya dibenarkan setakat pukul 11.30 pagi sahaja.

Katanya, namun apa yang menghairankan pendaftaran terus dibuka sehingga lebih pukul 12 tengah hari.

“Sepatutnya perwakilan yang dibenarkan mengundi mempunyai pas khas namun saya lihat ada yang mendaftar untuk mengundi dengan hanya menulis nama mereka dalam borang pendaftaran perwakilan.

“Kami percaya ini adalah satu penipuan dan taktik untuk membenarkan lebih ramai perwakilan mengundi. Kami percaya wujud pengundi hantu pada pemilihan kali ini,” dakwanya.

Sebelum itu, kekecohan berlaku di luar dewan persidangan semasa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sedang berucap merasmikan persidangan apabila sekumpulan perwakilan dipercayai dari kumpulan Kula dan Thomas Su bertindak membantah pendaftaran perwakilan masih dibuka melepasi masa yang ditetapkan.

Kekecohan cuba dikawal oleh petugas keselamatan dan berlaku tolak menolak dan beberapa perwakilan parti menjerit mahukan penjelasan.

Kumpulan berkenaan yang diketuai Thomas dan Kula kemudian memasuki dewan untuk membantah perkara itu namun keadaan kembali tenang selepas itu.

Ini adalah kali kedua selepas 10 tahun lalu gandingan Thomas Su dan Kula sekali lagi cuba mencabar gandingan Nga dan Ngeh dalam pemilihan parti peringkat negeri.

Konflik dua kem itu bukan rahsia dalam DAP Perak sehingga pasukan Thomas-Kula sekali lagi mencabar barisan kepimpinan sedia dengan alasan didesak oleh akar umbi DAP yang mahukan perubahan di dalam organisasi.

Dalam pada itu, DAP Perak menyasarkan pertambahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kor Ming berkata, DAP menyasarkan bertanding di lapan kerusi Parlimen dalam PRU-15 setelah memang di semua tujuh kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya umum yang lalu.

Katanya, parti itu juga berhasrat bertanding di 20 kerusi DUN selepas menang di semua 18 kerusi DUN dalam PRU-14. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya