KUANTAN: Kemasukan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) pastinya memberikan impak terutama membabitkan potensi meraih sokongan kaum Cina.
Namun kecenderungan sokongan buat masa ini agak kurang berpotensi kerana PN dikenali dengan dominasi permuafakatan parti Melayu yang tunjang utamanya adalah politik kelangsungan Melayu.
Justeru Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berkata, apabila hadir Gerakan yang dikatakan mempunyai potensi untuk meraih sokongan pengundi Cina agak sukar sebenarnya memandangkan imej PN terlalu kuat dengan politik orang Melayu.
“Kedua, pengundi kaum Cina dikenali dengan sikap kesatuan dalam mengundi. PN kena pastikan mereka benar-benar layak untuk dipilih kekal sebagai pemerintah di mata pengundi Cina.
“Kita lihat saja kesatuan undi pengundi Cina dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan PRU-14, ia telah mencetuskan tsunami pengundi Cina,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
11 Februari lalu, Gerakan secara rasmi diterima sebagai salah sebuah parti anggota PN.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penyertaan Gerakan dalam PN amat dialu-alukan dan percaya langkah itu akan memperkukuhkan PN sebagai gabungan parti-parti politik yang mewakili masyarakat pelbagai kaum dan wilayah di Malaysia.
Selain Gerakan, PN dianggotai Parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
Mengulas lanjut, Muhammad Ariff Asyrul berkata, pengundi kaum Cina juga dikenali dengan sikap teliti terhadap prestasi pemerintah.
Justeru, katanya, dengan kegoyahan dan prestasi PN yang kurang konsisten dalam menguruskan gelombang ketiga Covid-19, pastinya memberi kesan kepada usaha menjadikan gabungan itu sebagai pakatan politik yang bersifat pelbagai dari konteks kaum.
“Namun tidak dinafikan kesan positif dengan kemasukan Gerakan ke dalam PN yang menunjukkan ada usaha untuk melonggarkan imej dominasi politik Melayu dalam gabungan tersebut,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










