JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menenggelamkan lebih 1,000 buah kapal nelayan asing sejak agensi itu ditubuhkan pada tahun 2006.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, majoriti daripada kapal berkenaan berasal dari Vietnam.
Katanya, perairan negara yang menjadi tumpuan mereka adalah perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Negara mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM6 bilion setiap tahun melibatkan kecurian hasil laut negara disebabkan nelayan asing ini.
“Disebabkan itu, Maritim Malaysia mengambil tindakan tegas. Berhubung kejadian tembakan baru-baru ini, ia adalah satu tindakan mempertahankan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Johor, di sini hari ini.
Sepanjang tahun 2020, Maritim Malaysia menenggelamkan lebih 200 kapal nelayan asing yang setiap satunya dianggarkan berharga kira-kira RM1.5 juta. – UTUSAN ONLINE