Keputusan BN 'jauhkan diri' daripada PN tepat - Utusan Malaysia

Keputusan BN ‘jauhkan diri’ daripada PN tepat

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Keputusan Barisan Nasional (BN) ‘menjauhkan diri’ daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai satu tindakan yang sangat tepat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana kerajaan PN ketika ini didukung pelbagai individu yang bermasalah.

Katanya, strategi mengukuhkan kerajaan sedia ada dengan menerima sokongan tiga ahli Parlimen PKR baru-baru ini tidak memperkasakan kerajaan.

“PN menerima sokongan tiga ahli Parlimen PKR baru-baru ini, demikianlah strategi mereka untuk mengukuhkan PN.

“Namun yakinlah, semua itu akhirnya hanyalah strategi untuk menunda kejatuhan PN dan bukan sebaliknya memperkasakan PN. Tiada pergerakan politik yang dibina dengan pendekatan tidak bermoral sebegini mampu bertahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Baru-baru ini, tiga ahli Parlimen PKR mengumumkan menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka adalah Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon; Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan terbaharu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar.

Menurut Mohamed Khaled, semua pergerakan politik hanya akan kukuh dan kelangsungan bersandarkan kepada kerja keras serta keyakinan pada nilai yang diperjuangkan.

“PN ditubuhkan tanpa ideologi dan kejelasan perjuangan dan sehingga waktu ini Malaysia tidak menjadi lebih baik dari sewaktu diperintah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Semua ini adalah ramuan untuk kegagalan. Berapa lama pun PN berusaha untuk memanjangkan hayatnya, mereka akhirnya akan kembali kepada rakyat juga untuk ditentukan masa depan.

“Mungkin PN lupa bahawa Malaysia dan rakyatnya telah jauh berubah yang mana pengundi Malaysia menjadi sangat ‘sophisticated’,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan bekas Menteri Besar itu turut mengingatkan bahawa penilaian rakyat adalah pada wibawa dan harga diri pemimpin yang mewakili mereka.

“Mereka lupa bahawa BN suatu ketika dahulu lebih kukuh dan berkuasa daripada PN sekarang, tetapi boleh ditewaskan juga. Sebabnya tidak perlu saya huraikan, semua orang tahu betapa berupaya BN memerintah.

“Tetapi apabila rakyat membuat keputusan, mereka mempunyai pelbagai dimensi dan pertimbangan. PN sekarang menjadi perikatan dengan dukungan pelbagai individu bermasalah.

“Percayalah, mereka ini hanya ingin menyelamatkan diri dan PN terbeban dengan masalah semua individu ini akhirnya,” jelasnya.

Sehubungan itu, tambahnya, sangat tepat untuk BN menjauhkan diri dari semua ini kerana parti itu ingin menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya, bukan PN dan sekutunya yang menjadi masalah kepada Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya