Kelas KAFA terapung bimbing Bajau Laut - Utusan Malaysia

Kelas KAFA terapung bimbing Bajau Laut

ZULKIFLI Wahijan (tengah) menyerahkan bantuan keperluan asas kepada seorang penerima semasa Misi Bantuan Kemanusiaan Sabah oleh MCM di Semporna, Sabah. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Muslim Care Malaysia (MCM) akan membina Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) terapung untuk kegunaan masyarakat Bajau Laut di sekitar Pulau Mabul, dekat sini Mei ini.

Cetusan idea membina pusat pendidikan asas agama berkenaan setelah melihat majoriti komuniti Bajau Laut tidak mempunyai pengetahuan agama, tersasar dari garis panduan Islam malah tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, dua tenaga pengajar dalam kalangan penduduk tempatan akan ditugaskan melaksanakan kerja-kerja pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan Bajau Laut mendapat pendidikan agama sewajarnya.

Katanya, ilmu asas seperti rukun iman, rukun Islam dan asas menunaikan solat lima waktu didedahkan kepada komuniti itu yang melibatkan semua lingkungan umur.

“MCM akan menyediakan segala kelengkapan seperti papan tulis dan bot untuk ke pusat KAFA terapung ini. Sekurang-kurangnya dengan inisiatif ini mendedahkan mereka tentang asas agama Islam.

“MCM prihatin dengan keadaan masyarakat Bajau Laut kerana dalam lima individu yang saya dekati dan fahami, semuanya tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah. Lidah mereka kaku.

“Ini adalah satu kejahilan yang perlu diatasi. Ia melibatkan akidah sedangkan mereka dilahirkan secara Islam namun tidak mengamalkannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 100 bekalan makanan kepada asnaf penerima di Kampung Hidayat manakala beberapa pek barangan keperluan harian diserahkan kepada asnaf penerima lain di Pulau Tiga, Pulau Bodgaya dan Pulau Selakan.

Setiap asnaf di semua lokasi berkenaan menerima barangan bernilai RM100 terdiri daripada beras 10 kilogram, gula satu kilogram, minyak masak satu kilogram, teh, kopi, tepung satu kilogram, mi kuning, susu pekat, telur ayam dan telekung.

Misi kemanusiaan MCM kali ini mendapat kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Geng Talaqqi, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau dan Surau Al Muhsinin, KLCC.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, kos untuk membina kelas KAFA itu berjumlah RM50,000 namun dia akan mendapatkan anggaran perbelanjaan sebenar setelah ketua imam kampung menjalankan tinjauan rasmi.

Ditanya cabaran untuk MCM merealisasikan hasrat tersebut, beliau berkata, penerimaan dalam kalangan komuniti Bajau Laut terhadap pendidikan mungkin menjadi kekangan kerana sudah terbiasa dengan amalan dan kepercayaan karut nenek moyang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya