Keberanian Sarjan Mat Shah dihargai - Utusan Malaysia

Keberanian Sarjan Mat Shah dihargai

MAT Shah Kassim (kiri) menerima surat penghargaan daripada Menteri Dalam Negeri yang disampaikan oleh Zulkifli dalam satu majlis di IPD Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Keberanian seorang anggota polis yang menyelamatkan dua beranak dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Seberang Batu Hampar dekat sini pada 4 Mac lalu mendapat pengiktirafan.

Sarjan Mat Shah Kassim, 57, hari ini menerima surat penghargaan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di atas tindakan beraninya menyelamatkan warga emas, Maimunah Mohd. Shah, 81 dan anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU), Zaidi Zainudin, 46.

Surat penghargaan tersebut disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zulkifli Noordin dalam satu majlis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau dekat sini hari ini.

Menurut Zulkifli, beliau mewakili Hamzah menzahirkan rasa bangga dan penghargaan terhadap tindakan berani Mat Shah dan kejadian berkenaan tersebut jelas menunjukkan kata-kata, polis dan masyarakat berpisah.

“Menteri kata ini perlu diberikan penghargaan kerana ia menunjukkan polis ini khidmatnya 24 jam, tidak semestinya masa bertugas sahaja.

“Penghargaan ini juga secara tidak langsung akan memberikan motivasi kepada pegawai dan anggota polis lain untuk melaksanakan cogan kata Polis Masyarakat Berpisah Tiada dan Bersedia Berkhidmat,” katanya dalam majlis tersebut.

Yang hadir sama pada majlis berkenaan, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Datuk Che Zakaria Othman dan Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden, Hazri Mohamad.

Utusan Online turut pada 4 Mac lalu turut melaporkan dua beranak cedera selepas rumah berusia lebih 100 tahun yang didiami mereka musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian tersebut, Maimunah dikatakan cuba menyelamatkan Zaidi menerusi pintu dapur yang kemudiannya dihalang seorang anggota polis yang tiba di tempat kejadian dan terus menyelamatkan kedua-dua beranak tersebut.

Sementara itu, Mat Shah berkata, dia menzahirkan rasa terima kasih di atas penghargaan yang diberikan dan ia merupakan kenangan manis menjelang persaraannya pada bulan November nanti.

“Sepanjang lebih 10 tahun saya berkhidmat di IPD Rembau, peristiwa ini antara yang paling menyentuh perasaan saya. Saya tak kenal kedua-dua anak beranak tersebut tetapi saya perlu menyelamatkan mereka.

“Saya pernah menerima penghargaan ketika bertugas sebagai Polis Hutan dan anggota Pasukan Gerakan Am, itu penghargaan berkumpulan namun ini kali pertama saya terima penghargaan berseorangan.

“Ikutkan saya sudah bersyukur dan selesa dengan pangkat ini (Sarjan), namun sekiranya diberikan peluang kenaikan pangkat, saya tidak akan menolak dan mengikut apa yang terbaik seperti yang diputuskan ketua saya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya