Jutawan belanja 400 penduduk Besut naik helikopter - Utusan Malaysia

Jutawan belanja 400 penduduk Besut naik helikopter

MOHAMAD Azlan Abdullah @ Ali (kanan) bergambar di depan helikopter di Kampung Tok Raja, Besut, Terengganu, ketika pulang bercuti pada minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Jutawan hartanah yang bermula sebagai pengutip sampah, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 34, membawa kegembiraan kepada kira-kira 400 penduduk di daerah ini apabila mempelawa mereka menaiki helikopter secara percuma.

Helikopter berwarna merah yang bersaiz sederhana besar bagi memuatkan sehingga tujuh penumpang itu diparkir di halaman rumah keluarganya di Kampung Tok Raja, di sini ketika pulang bercuti selama seminggu, minggu lalu.

Mohamad Azlan berkata, inisiatif itu timbul bagi berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat terutama kalangan anak yatim dan orang miskin sekali gus mencipta pengalaman baharu yang terindah buat golongan berkenaan.

Pemilik Syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn. Bhd. itu berkata, setiap hari kira-kira 100 orang dibawa terbang di sekitar daerah berkenaan dalam tempoh antara lima ke 10 minit bermula dari pukul 7 pagi.

“Keluarga saya adalah antara orang paling miskin di Besut lebih 20 tahun lalu. Jadi apabila saya ada kemampuan, saya terfikir untuk menghadiahkan sesuatu kepada penduduk kampung terutama anak muda dalam bentuk inspirasi dan motivasi.

“Memandangkan helikopter adalah kenderaan yang lazim digunakan untuk urusan kerja dan peribadi, jadi saya kongsikan pengalaman ini dengan masyarakat. Tidak sangka ada yang menangis kegembiraan dengan peluang diberikan sekali gus membuatkan hati saya bahagia apabila melihat mereka bahagia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohamad Azlan berkata, dia turut menyertai penerbangan bersama penduduk kampung termasuk berbual-bual dengan mereka mengenai helikopter secara ringkas.

Terdahulu, pemaju perumahan itu menarik perhatian apabila menaiki helikopter untuk menikmati sarapan pagi di sekitar Besut di samping turut membawa kedua ibu bapanya terbang menggunakan kenderaan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya