Jangan salahkan SPR lewat laksana Undi18 - Utusan Malaysia

Jangan salahkan SPR lewat laksana Undi18

WAN AHMAD WAN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh dipersalahkan kerana mengambil masa terlalu lama untuk melaksanakan pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 tahun (Undi18).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, tempoh pelaksanaan sehingga mengambil masa lebih tiga tahun itu selepas Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkemungkinan kesilapan penyelarasan kerja antara kementerian atau jabatan yang menguruskan undang-undang itu.

Katanya, ini termasuk memastikan penyediaan kemudahan sistem dalam talian (online) pendaftaran automatik dapat disiapkan dengan selamat dan terjamin kerana melibatkan pelbagai agensi kerajaan lain bagi mengintegrasikan data berkaitan.

Menurut beliau, langkah itu amat penting bagi menyediakan sistem pengurusan pendaftaran yang terjamin tepat dan kalis penipuan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab dan tentunya bukan satu tugas mudah.

“Persediaan sistem online ini, selain daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selaku pusat data warganegara, juga melibatkan pelbagai agensi kerajaan lain termasuk Jabatan Insolvensi, mahkamah, penjara, polis, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan dan lain-lain.

“Ini bagi memastikan nama-nama warganegara yang tidak layak dari segi undang-undang tidak tersenarai dalam daftar pemilih selaras dengan ketetapan di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Pemilih 2002 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1958,” katanya di sini semalam.

Kelmarin SPR memutuskan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 dijangka hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.

Wan Ahmad berkata, parti-parti politik perlu melihat keputusan SPR itu dari sudut positif bahawa undang-undang tersebut akhirnya akan dilaksanakan di negara ini walaupun mengambil tempoh panjang.

Beliau berkata, penduduk berusia 18 tahun ke atas akhirnya mendapat hak mengundi dan hak bersuara untuk terlibat memilih pemimpin dan kerajaan untuk memerintah negara.

“Hak mengundi rakyat 18 tahun ke atas sangat wajar dan perlu kerana golongan tersebut telah diiktiraf sebagai ‘cukup umur dan dewasa’ dalam pelbagai perundangan dan syarat-syarat lain.

“Individu berusia 18 tahun sudah dibenarkan memandu, memiliki harta, boleh dihukum di mahkamah, menyertai angkatan bersenjata (mengguna senjata api), membayar cukai jika bekerja dan menandatangani perjanjian,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN