SHAH ALAM: Jika Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ikhlas untuk bekerjasama dengan UMNO, maka, beliau tidak boleh memaksa parti itu untuk menerima dirinya sebagai Perdana Menteri.
Menurut Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil, UMNO sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan pihak tersebut ikhlas dan jujur dalam kerjasama yang ingin dibentuk.
“Kerjasama tersebut bagaimanapun turut bergantung kepada penerimaan akar umbi UMNO dan pucuk pimpinan parti.
“Saya tidak rasa akar umbi UMNO akan terima kerjasama ini jika tujuan Anwar semata-mata ingin jadi Perdana Menteri. Jika ini tujuannya, maka, ia samalah niatnya seperti Dr. Mahathir (Tun Dr.Mahathir Mohamad) dan Tan Sri Muhyiddin dahulu iaitu untuk gunakan UMNO untuk mencapai cita-cita mereka untuk jadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengadakan sidang akhbar mengenai kerjasama PKR dengan UMNO pada petang ini.
Isham berkata, sebelum ini di bawah pentadbiran Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan dan 12 bulan bersama Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN), kedua-duanya dilihat gagal untuk membawa kestabilan politik dan ekonomi.
“Kita tidak boleh lagi terima kerjasama “scheme of things” (cara bagaimana sesuatu perkara diatur atau berlaku dalam sesuatu keadaan tertentu).UMNO tidak boleh dipergunakan sebegini rupa.
“Bagi saya, Perdana Menteri PKR tidak akan merubah keadaan ini. Pada pandangan saya, Perdana Menteri perlu datang dari parti yang paling besar dengan akar umbi Melayu Islam yang paling ramai, iaitu UMNO,”katanya.
Jelasnya lagi, selama ini UMNO yang berterusan memperjuangkan kumpulan tersebut tanpa meminggirkan atau mengenepikan hak-hak kaum-kaum lain.
Beliau menambah, UMNO sebagai parti yang mempunyai majoriti orang Melayu dan Islam amat penting untuk kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. -UTUSAN ONLINE