PUTRAJAYA: Syarikat francaisor diminta melihat semula pakej francais mereka dengan mengenakan kos lebih rendah bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada golongan muda ceburi perniagaan francais.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, dalam masa sama, pemilik perniagaan terutama yang sudah kukuh juga dialu-alukan mengembangkan perniagaan dengan membuka atau menceburi perniagaan francais konsep mikro dan mampu milik.
Menurutnya, sistem perniagaan francais yang baik sering kali hadir dengan pakej permulaan agak tinggi contohnya, dengan permulaan dari RM150,000 hingga jutaan ringgit.
“Di samping masalah pandemik ketika ini serta kekurangan pekerjaan selain ekonomi tidak menarik, ramai yang datang mengadu kepada kementerian untuk menjadi usahawan francais tetapi francaisor mengenakan bayaran tinggi ratusan ribu sehingga juta.
“Kita memikirkan cara untuk memenuhi golongan ini. Timbul idea pihak kementerian, Ketua Setiausaha Kementerian serta pegawai untuk berbincang dengan francaisor bagi menurunkan bayaran kepada yang lebih murah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi ‘walkabout’ ke kiosk francais CheeseU Putrajaya iaitu kiosk pertama jenama tersebut yang mampu milik dengan kos di bawah RM100,000.
Sehubungan itu beliau berkata, kementerian mengalu-alukan francaisor di negara ini mewujudkan pakej perniagaan model francais mikro dan mampu milik dalam melahirkan lebih ramai usahawan francais.
Malah katanya, kementerian sebagai peneraju pembangunan industri francais di negara ini telah diperuntukkan RM5 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Francais Mikro dan Mampu Milik pada tahun ini.
“Kementerian juga menyediakan advokasi khidmat nasihat bagi membimbing mereka yang berminat. Oleh itu kita turut menyeru francaisor untuk menawarkan francais mikro dan mampu milik ini dengan harga di bawah RM100,000 atau lebih murah lagi bagus.
“Usaha ini diharap dapat mendorong anak muda untuk melibatkan diri sebagai usahawan francais sekali gus diharap ia mendapat sambutan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, beberapa syarikat francaisor juga ada menyatakan minat untuk menawarkan francais mikro dan mampu milik bagi mengurangkan kos permulaan ke RM100,000 dan ke bawah.