Dua rampasan minyak bernilai lebih RM47,000 kurang 24 jam - Utusan Malaysia

Dua rampasan minyak bernilai lebih RM47,000 kurang 24 jam

MOHD. Ridzuan Ab. Ghapar (tengah) menunjukkan hos gas yang digunakan untuk memindahkan gas daripada tong LPG bersubsidi kepada tong gas LPG industri dalam satu serbuan di Jalan Kampung Telok, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang berjaya melumpuhkan dua kegiatan penyelewengan minyak bersubsidi dalam tempoh 24 jam menerusi dua serbuan berasingan yang berakhir awal pagi tadi.

Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun turut ditahan dalam serbuan kedua yang dijalankan di sebuah stor tidak bernombor di Jalan Kampung Telok, di sini kira-kira pukul 5 pagi tadi.

Katanya, ketika ditahan lelaki itu sedang memindahkan sebanyak 20 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi ke dalam 20 tong LPG industri.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan sebanyak 17 tong LPG bersubsidi yang masih berisi dan 16 tong yang telah kosong di premis berkenaan.

“Pada masa sama, sebanyak 24 unit paip hos dan sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut LPG itu disita dengan jumlah sitaan sebanyak RM21,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu kata Mohd. Ridzuan, pihaknya berjaya merampas 47 kotak minyak masak paket seberat sekilogram (kg) bersubsidi dalam serbuan di sebuah lot berpagar di Mukim 14, Seberang Perai Selatan (SPS), kira-kira pukul 1.25 petang, semalam.

Katanya, ketika kejadian dua lelaki warga tempatan didapati sedang memunggah kotak minyak masak berkenaan di atas sebuah lori.

Jelasnya, sisatan lanjut kemudian menemukan tujuh kotak minyak masak lagi dalam sebuah bangsal yang didirikan dalam lot tersebut.

“Turut dijumpai ialah sejumlah minyak masak paket 1 kg yang telah digunting dan satu tong plastik yang berisi cecair yang disyaki minyak masak serta sebuah lori kanvas dengan dua biji tangki plastik yang berisi minyak masak,” katanya yang menganggarkan nilai rampasan tersebut mencecah RM26,700.

Dalam pada itu Mohd. Ridzuan memberitahu, nilai kedua-dua rampasan ialah RM47,700 dan siasatan lanjut mendapati kedua-dua kegiatan telah beroperasi lebih daripada enam bulan.

“Kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kita memandang serius terhadap semua isu yang melibatkan penyelewengan subsidi untuk mengaut keuntungan semata-mata,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN