Dedah kelemahan calon ketua kampung gagal - Utusan Malaysia

Dedah kelemahan calon ketua kampung gagal

Datuk Mohd. Lassim Burhan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Pihak berkaitan disaran mendedah dan menyenaraikan segala kelemahan atau faktor kegagalan calon ketua kampung sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri berterusan mempertikai pelantikan itu.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd. Lassim Burhan berkata, desakan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu yang tidak berpuas hati dengan perkara itu boleh memaklumkan calon-calon yang ditolak permohonannya.

“Tiada kuota atau laluan hijau perlu diberikan kepada setiap calon yang menawarkan diri, kesemuanya memerlukan kriteria yang ditetapkan di samping bersaing kepada merit pesona masing-masing.

“Jangan apabila Bersatu berkuasa segalanya dianggap milik Bersatu dan perlu diberi kelebihan berbanding orang lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Terdahulu, Armada Bersatu Johor menggesa Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohamad bersikap adil dan memberi titik penyelesaian dalam kemelut pelantikan ketua kampung di negeri ini.

Ketuanya, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata, pihaknya menuntut untuk memberi hak kesamarataan bersama parti komponen dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memimpin Johor ketika ini.

Sementara itu, Mohd. Lasim berkata, pelantikan ketua-ketua kampung di Johor bukan pemilihan parti politik dan desakan kesamarataan antara semua parti politik jelas menunjukkan Armada tidak faham tentang fungsi dan kaedah pemilihan yang dilakukan oleh panel pemilih di setiap daerah.

“Tindakan Armada Johor mempersoal kepimpinan dan integriti Menteri Besar disifatkan sebagai tidak dapat menerima hakikat bahawa kebanyakan calon yang disenaraikan oleh parti itu tidak terpilih selepas tapisan yang dibuat oleh pihak berwajib,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting adalah penstrukturan semula masyarakat dan kampung supaya semuanya lebih makmur serta pengurusan yang lebih efisien.

“Ketua kampung yang bertanggungjawab sudah tentu disayangi. Bukan kriteria parti politik yang menjadi keutamaan sebaliknya servis yang terbaik dan layaknya itulah yang utama,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN