Cemar air, udara: 2 kilang kitar semula plastik diarah henti operasi serta-merta - Utusan Malaysia

Cemar air, udara: 2 kilang kitar semula plastik diarah henti operasi serta-merta

SEBANYAK dua buah kilang kitar semula berasaskan plastik di Kawasan Perusahaan Perai, Butterworth diarah menghentikan operasi serta-merta oleh JAS Pulau Pinang selepas didapati melakukan pencemaran air dan udara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri mengarahkan dua kilang kitar semula di Kawasan Perusahaan Perai di sini menghentikan operasi serta-merta selepas didapati melakukan pencemaran air dan udara.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kedua-dua kilang berasaskan plastik itu diserbu dalam operasi pihaknya semalam hasil aduan orang awam yang terganggu dengan operasi kilang tersebut dari tengah malam hingga awal pagi.

Menurut beliau, pemilik kilang itu diberi Notis Arahan dibawah Seksyen 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 hari ini dan operasi kelengkapan kedua-dua kilang tersebut ditahan bertujuan menghentikan pencemaran dan membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati salah sebuah kilang itu menjalankan operasi kitar semula sisa plastik tanpa kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

“Kilang yang dilengkapi dengan mesin ‘extruder’, ‘shredder’ dan ‘crusher’ itu telah menyebabkan bunyi bising kepada penduduk berhampiran terutama pada waktu malam hingga awal pagi.

“Kilang tersebut juga dikesan menjalankan aktiviti basuhan sisa plastik tanpa dilengkapi sistem pengolahan efluen perindustrian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sharifah Zakiah, siasatan lanjut mendapati kilang itu turut mempunyai Lesen Import (AP) sisa plastik daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) yang beralamat di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak.

Dalam pada itu tambah beliau, tindakan penahanan operasi kelengkapan sama turut diambil ke atas sebuah lagi kilang kitar semula plastik di situ selepas pemilik kilang didapati gagal mengendali dan menyelengara sistem kawalan pencemaran udara ‘spray booth’.

Katanya, kilang yang menjalankan operasi ‘plastic injection moulding’ itu didapati menjadi punca pencemaran habuk hitam ke kawasan persekitaran berhampiran.

Tambah beliau, kegagalan mengendali dan menyelenggara sistem kawalan pencemaran udara dengan baik merupakan kesalahan di bawah Peraturan 7(3), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

“Sehubungan itu, kedua-dua kilang ini tidak dibenarkan beroperasi sehingga memenuhi semua arahan di dalam notis arahan yang dikeluarkan.

“Pemilik kilang juga perlu memastikan kesemua perkara teknikal seperti langkah kawalan pencemaran disiapkan dan diluluskan oleh JAS negeri terlebih dahulu sebelum boleh beroperasi semula,” katanya.

Jelas Sharifah Zakiah, pihaknya merakamkan penghargaan kepada orang awam yang melaporkan mengenai kejadian pencemaran tersebut.

Katanya, sebarang aduan pencemaran pada masa hadapan boleh disalurkan terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.