Caj warisan kekal RM2 - Utusan Malaysia

Caj warisan kekal RM2

MUHAMMAD JAILANI Khamis (dua dari kiri) melancarkan Melakan Visit Melaka 3.0 di Freeport A'Famosa Outlet, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri tidak menaikkan caj warisan pelancongan RM2 sehari yang dikenakan terhadap pengunjung menerusi tempahan bilik penginapan pada tahun ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dalam sidang akhbar Melakan Visit Melaka 3.0, di Freeport A’Famosa Outlet di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memulihkan sektor pelancongan meliputi industri perhotelan yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

“Kita tidak akan menaikkan caj warisan bagi menggalakkan kedatangan pengunjung ke negeri ini. Tahun ini kita menyasarkan seramai 6.2 juta pelancong.

“Saya menasihatkan agensi-agensi pelancongan tidak menaikkan harga pakej dan setakat ini kebanyakannya memberikan potongan harga 20 hingga 50 peratus kepada pelancong dalam usaha menarik ramai pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan segelintir pihak mengenai caj warisan dinaikkan sehingga RM5, sekali gus membebankan pengunjung dan pemain industri perhotelan.

Pada program itu, beliau memperkenalkan 24 lokasi pelancongan menarik sempena kempen promosi Melakan Visit Melaka 3.0 tahun ini.

Beliau berkata,=, setakat ini kerajaan negeri mengenal pasti lima lokasi ‘kegemaran’ ramai iaitu muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka, Melaka River Cruise, Zoo Melaka, Pusat Boling Antarabangsa Melaka, Taman Mini Malaysia dan Mini ASEAN.

“Bagi terus memperhebat sektor pelancongan negeri, kita memperkenal 24 lokasi pelancongan menarik sempena kempen promosi Melakan Visit Melaka 3.0 yang berlangsung selama 10 bulan sehingga 31 Disember 2021.

“Kita mengenal pasti lima lokasi menarik pada kempen-kempen sebelum ini dan bagi promosi kali ini menambah enam lagi lokasi termasuk Firefly Digital Art Museum yang terletak di Freeport A’Famosa Outlet, Alor Gajah,” jelasnya.

Terdahulu, beliau memberitahu, pada pelancaran Melakan Visit Melaka 2.0 pada 21 November 2020, sebanyak 58,465 pakej pelancongan melalui kempen tersebut telah terjual dengan jumlah pendapatan terkumpul RM459,948. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN