Bersih 2.0 sokong tuntutan SPRM - Utusan Malaysia

Bersih 2.0 sokong tuntutan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bersih 2.0 menggesa kerajaan melaksanakan undang-undang membenarkan parti-parti menerima pembiayaan dana politik dalam kadar segera.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, ketiadaan undang-undang khusus melibatkan pembiayaan dana politik bukan hanya mendorong kepada budaya rasuah dan salah guna kuasa malah mengakibatkan ketidakstabilan politik.

“Bersih 2.0 menyokong penuh tuntutan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar Rang Undang-Undang (RUU) pembiayaan menjadi undang-undang sebenar.

“RUU itu sudah lama tertangguh sejak proses itu dimulakan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beralih kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan SPRM mahu pihak berkuasa mempercepatkan pelaksanaan undang-undang yang membolehkan parti politik menerima dana politik pada tahun ini.

Semasa pentadbiran PH, kerajaan pada waktu itu menjangka dapat membentangkan RUU berkenaan yang memfokuskan aspek mengawal selia sumbangan politik sebagai usaha kerajaan membentuk ekosistem negara bebas rasuah.

Bagaimanapun, sehinggalah riwayat pentadbiran PH berakhir dan Perikatan Nasional (PN) memerintah, nasib RUU berkenaan dilihat kelam. Difahamkan, usaha untuk merealisasikan perkara itu masih tergantung di peringkat sesi perbincangan jawatan kuasa khas Parlimen.

Ditanya kekangan yang membuatkan akta berkenaan belum dilaksanakan, Thomas mendakwa, ia berkait dengan pengaruh politik oleh sesuatu pihak.

“Apabila anda berkuasa, anda mempunyai akses kepada dana dan tidak mahu melepaskan kelebihan yang ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×