PUTRAJAYA: Gerakan Belia 4B Malaysia membantah tindakan polis melaksanakan Op Ubah Suai Ekzos terhadap para penunggang motosikal di seluruh negara sejak 1 Mac lalu.
Pemangku Presidennya, Fahami Ashrof Badaruddin menyifatkan langkah dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis itu sebagai kejam dan sangat tidak wajar.
“Kami berpandangan tindakan ini bersikap berat sebelah dan menzalimi penunggang motosikal di jalan raya terutama golongan muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media tempatan baru-baru ini melaporkan ramai penunggang berdepan dengan hukuman penjara tidak lebih enam bulan dan denda paling maksimum RM2,000 gara-gara ekzos bingit.
Awal bulan ini, Persatuan Pengguna Melayu Malaysia turut mengecam ketegasan polis kerana yang sepatutnya dipersalahkan ialah bengkel jual komponen ekzos ‘bising’ terbabit.
Pengusaha berkenaan yang wujud lebih 30 tahun lalu malah mampu mengaut untung jutaan ringgit dengan bebas berniaga barangan itu tanpa diambil tindakan pun oleh pihak berkuasa.
Fahami Ashrof berkata, polis sepatutnya lebih bertimbang rasa dengan musim pandemik Covid-19 yang belum reda dan kadar pengangguran belia masih tinggi.
“Ramai belia tentunya menghadapi kesusahan berganda apabila disaman, sepatutnya polis kena buat kempen kesedaran dan bukan bertindak melulu,” katanya.
Justeru, beliau menyeru Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar bertegas ‘menggempur’ premis jualan ekzos yang menjadi punca bagi masalah tersebut.
Pada masa sama, tambah beliau, Kementerian Pengangkutan diseru memperbanyak hebahan perihal bahaya bunyi ekzos bising menerusi media massa termasuk platform maya.
Beliau berkata, banyak lagi kesalahan dan lambakan barang tiruan di pasaran gelap yang boleh menjejaskan ketenteraman awam tidak diambil tindakan.
“Tindakan polis terus meletakkan kesalahan hanya kepada pengguna tanpa dorong kepada menutup punca berlakunya perkara ini dilihat sebagai amat tidak saksama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya berani menggantung lesen premis jualan ekzos yang jelas dibawa masuk ke negara ini secara haram dan menyalahi peraturan.
Bagaimanapun, sebagai gerakan belia yang besar, beliau menasihati remaja tempatan agar menghidupkan budaya sihat terhadap hobi dan minat dalam bidang pemotoran. – UTUSAN ONLINE