ALOR SETAR: Seorang bayi berusia sembilan bulan yang menderita penyakit jantung berlubang dan paru-paru sejak lahir memerlukan tabung oksigen bagi meneruskan kehidupan.
Muhammad Haziq Nazmi juga merupakan bayi orang kurang upaya (OKU) kategori sindrom down.
Ibunya, Nor Hasliza Hashim, 36, dari Kampung Keda Wang, Padang Sera dekat sini berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu memerlukan tabung oksigen untuk kegunaan ketika berada di rumah.
Katanya, pada masa ini anaknya menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dan menggunakan tabung oksigen yang dibekalkan hospital.
“Kami sekeluarga mengharapkan sumbangan orang ramai bagi membeli tabung oksigen yang dianggarkan bernilai RM5,000.
“Pihak hospital menasihatkan kami membeli tabung itu supaya anak dapat dibawa pulang ke rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Nor Hasliza, pihak hospital ada menawarkan tabung itu secara sewa sebanyak RM350 sebulan tetapi dia dan suami, Anorazmi Saad, 38, yang bekerja kampung dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan tidak berkemampuan.
“Kami terpaksa menanggung tiga anak lagi dengan dua daripadanya masih bersekolah di tingkatan dua dan tahun dua serta seorang lagi berusia empat tahun,” jelasnya.
Katanya, anaknya itu juga perlu membuat rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang dari semasa ke semasa bagi merawat masalah kesihatannya.
“Kami tidak mempunyai kereta dan hanya ada sebuah motosikal lama yang kerap rosak.
“Semasa mendapatkan rawatan pertama anak pada 22 Julai tahun lalu, kami terpaksa memperuntukkan kira-kira RM500 untuk kos sewa kereta, minyak, tol dan makanan ke Pulau Pinang,” jelasnya.
Tambahnya, dia sekeluarga menerima bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM300 sebulan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.
Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Nor Hasliza di talian 012-4504134 atau menyalurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0299541100367877 (Nor Hasliza Hashim). – UTUSAN ONLINE