Apa tindakan kerajaan yakinkan golongan antivaksin, soal Anwar Ibrahim - Utusan Malaysia

Apa tindakan kerajaan yakinkan golongan antivaksin, soal Anwar Ibrahim

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan persoalan tindakan yang diambil kerajaan bagi memastikan golongan antivaksin di negara ini mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Ini berikutan suntikan berkenaan yang dijalankan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bukan satu kewajiban sekali gus memberi ruang kepada golongan berkenaan memilih tidak mendapatkan vaksin Covid-19.

“Sudahkah kerajaan mengenal pasti atau sudahkah kerajaan fikirkan bagaimana untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang vaksin dan isu keselamatan vaksin memandangkan terdapat juga kumpulan warga yang mempunyai kegusaran terhadap vaksin?,” soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hari ini mendedahkan seramai 1.4 juta individu yang sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin Covid-19 didapati tidak melengkapkan pendaftaran mereka secara sepenuhnya.

Kata Khairy, pemberian tarikh temujanji tidak dapat dinyatakan selagi maklumat data lengkap tidak diisi seperti menjawab soalan berkaitan penilaian kesihatan dan memasukkan alamat terkini masing-masing.

Malaysia dilapor meneruskan proses penerimaan dan pembelian vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca memandangkan tiada bukti menunjukkan vaksin itu menyebabkan darah beku.

Dalam pada itu, Anwar turut mendakwa kerajaan belum menjawab soal ketelusan dalam proses mendapatkan vaksin sejak awal pelaksanaan program vaksinasi pada 24 Februari lalu walhal sejumlah RM3 bilion wang negara dibelanjakan untuk mendapatkan pelbagai jenis vaksin.

Ini termasuk jumlah komisyen yang perlu dibayar kepada syarikat farmaseutikal Pharmaniaga bagi mendapatkan vaksin Sinovac yang masih kabur selain terdapat beberapa laporan menyatakan tentang keberkesanan vaksin buatan Rusia iaitu Sputnik V yang jauh lebih murah namun tidak diberi perhatian oleh kerajaan.

“Kerajaan pernah menyatakan sebelum ini bahawa pengeluar-pengeluar vaksin perlu berkongsi pengetahuan terkait pembuatan vaksin, sekiranya pengeluar-pengeluar vaksin ini mahu bekerjasama dengan Malaysia. Justeru, penting untuk rakyat dan negara tahu berapa cepatkah fasiliti pengeluaran vaksin ini akan dibangunkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN