PETALING JAYA: Dua selebriti dijangka menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam tempoh terdekat.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, dua selebriti itu ialah pelawak, Afdlin Shauki dan juga penyanyi rap, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet yang akan membuat persembahan dalam sebuah program yang melibatkan komponen pembangkang Khamis ini.
“Selebriti-selebriti itu sudah beberapa kali mengadakan perjumpaan tertutup dengan ahli politik Malaysia yang cukup besar namanya dalam persada politik daripada komponen pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR),” jelas sumber berkenaan.
Namun masih menjadi persoalan sama ada kedua-dua selebriti itu benar-benar akan mendaftarkan diri dalam parti tersebut.
Sebelum ini, beberapa pelakon turut aktif dalam arena politik.
Antaranya ialah Dira Abu Zahar yang menyertai Puteri UMNO dan pernah menggalas tanggungjawab sebagai ahli jawatankuasa bagi cawangan Tangga Batu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pelakon dan pengacara, Azwan Ali mengumumkan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.
Utusan Malaysia juga pernah melaporkan desas-desus bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang juga ahli PKR, Datuk Hans Isaac bakal bertanding dalam PRU-15 atas tiket PKR. – UTUSAN ONLINE










