775 pekerja asing di Perlis telah jalani saringan Covid-19 - Utusan Malaysia

775 pekerja asing di Perlis telah jalani saringan Covid-19

JTK Perlis bersama CIDB dan JKKP menjalankan operasi pematuhan penginapan pekerja di tapak pembinaan di sekitar Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebanyak 75.9 peratus atau 775 pekerja asing daripada keseluruhan 1,020 orang yang diperiksa oleh Pasukan Kerja (Taskforce) Pematuhan Penginapan Pekerja Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di negeri ini telah menjalankan saringan kesihatan Covid-19 sejak awal tahun ini sehingga 28 Februari lalu.

Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan itu telah mengadakan 50 operasi ke atas 467 majikan yang menggajikan pekerja asing di negeri ini sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan sehingga hujung bulan lalu mendapati terdapat 135 majikan yang menggajikan 1,020 pekerja asing yang berdaftar di negeri ini.

“Sehingga 28 Februari juga sebanyak 20 majikan telah memohon Perakuan Penginapan di bawah Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

“Daripada jumlah itu, lima perakuan penginapan telah dikeluarkan manakala selebihnya masih dalam proses penyiasatan awal atau menunggu ulasan pihak berkuasa tempatan (PBT),” jelas kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, pasukan yang diketuai JTK itu turut dianggotai agensi-agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia iaitu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Katanya, pasukan tersebut berperanan memastikan penginapan pekerja memenuhi kehendak di bawah Akta 446 dan sesuai didiami kerana penting dalam memutuskan rantaian penyebaran Covid-19 dalam kalangan pekerja.

Dalam pada itu JTK memberitahu, satu operasi yang diadakan bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan JKKP berhubung kemudahan penginapan mendapati majikan masih belum mendapat perakuan penginapan daripada pihaknya.

Katanya, semakan dalam sistem portal www.akta446.mohr.gov.my mendapati majikan belum membuat sebarang permohonan mendapatkan perakuan tersebut.

“Beberapa kesalahan lain di bawah Akta 446 turut dikesan termasuk majikan tidak menyediakan katil dan tilam, kemudahan tandas dan bilik mandi yang mencukupi. Selain itu didapati pekerja membeli sendiri peralatan seperti bantal, tikar, kipas angin dan dapur.

“Oleh itu, kertas siasatan akan dibuka di bawah seksyen 24D(1), yang mana majikan boleh didenda RM50,000 jika sabit kesalahan. Bagi kesalahan lain majikan juga boleh dikenakan tindakan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pengkompaunan Kesalahan) 2021,” katanya.

Selain itu, JTK juga menjalankan pemeriksaan di bawah Akta Kerja 1955 yang mana beberapa kesalahan yang dikenal pasti seperti majikan tidak menyediakan kontrak perkhidmatan, penyata gaji, tempoh masa kerja yang panjang dan membayar gaji lewat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.