LUMUT: Polis mengeluarkan 55 saman dan menyita 13 motosikal dalam Operasi Khas Kesalahan Bunyi Bising di sekitar pekan Lumut dan Kilometer 1 Jalan Lumut – Sitiawan dekat sini semalam.
Dalam operasi bermula pukul 4 petang hingga 9 malam itu, sebanyak 57 kenderaan dan 60 individu telah diperiksa oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, antara kesalahan dilakukan ialah tiada cermin sisi, tiada pelekat L atau P, nombor plat kabur atau ‘fancy’, tiada lesen atau insurans serta ubah suai kenderaan.
“Saman paling tinggi ialah ubah suai kenderaan iaitu sebanyak 20 saman.
“Antara alasan diberikan kenapa ubah suai kenderaan ialah mengikut ‘trend semasa’, mahu ‘glamour’, untuk bagi nampak motor cantik dan ada juga mengatakan mereka meminjam motosikal kawan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nor Omar, sebanyak 13 buah motosikal pula telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa ke Balai Trafik IPD Manjung untuk tindakan lanjut.
Beliau menjelaskan, semua motosikal tersebut disita atas kesalahan melakukan pengubahsuaian motosikal atau tiada lesen memandu.
Jelasnya, semua penunggang motosikal yang melakukan kesalahan itu berusia antara 18 hingga 26 tahun.