SEREMBAN: Sebanyak 21 majikan di negeri ini bakal berdepan tindakan undang-undang selepas kertas siasatan ke atas mereka dibuka kerana didapati tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J. Arul Kumar berkata, setakat 23 Februari lalu, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan telah membuka 35 kertas siasatan ke atas majikan yang gagal mematuhi syarat atau garis panduan ditetapkan.
“Kebanyakan isu yang dibangkitkan ialah majikan gagal menyediakan bangunan penginapan tanpa perakuan daripada JTK negeri (Seksyen 24D) dan tempat penginapan tidak sesuai diduduki mengikut undang-undang bertulis (Seksyen 24H).
“Sehubungan itu, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan bersama Pengarah JTK Negeri Sembilan, S.Tharu Marajan bertujuan memastikan semua syarat yang dikenakan mengikut Akta 446 adalah sama antara semua jabatan terutama di pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak membebankan majikan semasa membuat permohonan mendapatkan perakuan penginapan daripada JTK,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Negeri di sini hari ini.
Menurut Arul Kumar, di peringkat negeri satu garis panduan yang lebih jelas dan terperinci telah dikeluarkan pada 9 Disember tahun lalu untuk dipatuhi semua majikan memandangkan banyak aduan diterima untuk permohonan sejak Akta 446 dikuatkuasakan 1 September lepas.
“Buat masa ini, JTK memberi perakuan penginapan kepada semua bangunan berstatus kediaman seperti rumah teres, apartmen dan flat dengan mengikut semua perakuan yang dijelaskan dalam Akta 446.
“Bagi bangunan berstatus bukan kediaman seperti rumah kedai, kedai pejabat dan lain-lain, majikan perlu memohon kebenaran merancang (KM) terhad untuk menjadikan tempat tersebut sebagai tempat penginapan,” katanya.
Beliau berkata, bagi bangunan seluas 3,000 kaki persegi dan ke bawah pemohon boleh melantik pelukis pelan berdaftar manakala bangunan seluas 3,000 kaki persegi ke atas pemohon perlu melantik arkitek berdaftar.
“Setiap majikan perlu mendapat kelulusan PBT terlebih dahulu bagi mendapatkan kebenaran penggunaan bangunan bagi tempat penginapan pekerja.
“JTK negeri akan meneruskan pemeriksaan ke tempat penginapan pekerja seterusnya sekiranya semua syarat dipenuhi perakuan penginapan Akta 446 akan dikeluarkan,” katanya.