PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan kes positif Covid-19 di bawah 2,000 iaitu 1,470 kes manakala kes sembuh pula, 1,830 kes.
Sebanyak tiga kes kematian dan dua kluster baharu direkodkan dengan terdapat penurunan kes aktif iaitu 16,711 kes berbanding semalam, 17,074 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 162 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 70 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, Selangor terus melaporkan kes baharu tertinggi iaitu 551 kes diikuti Sarawak, 222 kes; Pulau Pinang, 178 kes; Kuala Lumpur, 158 kes; Johor, 101 kes.
“Baki negeri merekodkan kes dua angka iaitu Perak, 72 kes; Sabah, 71 kes; Kelantan, 40 kes; Perlis, 29 kes; Terengganu, 14 kes; Kedah, 13 kes manakala Pahang, lapan kes; Negeri Sembilan, enam kes; Putrajaya, empat kes; Melaka, dua kes dan Labuan, satu kes.
“Kes kematian melibatkan warga tempatan di Selangor, Kuala Lumpur, dan Terengganu, masing-masing satu kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE










