UTHM sedia sambut pelajar ke kampus - Utusan Malaysia

UTHM sedia sambut pelajar ke kampus

PELAJAR UTHM dibenarkan kembali ke kampus mengikut kategori yang ditetapkan kerajaan bermula 1 Mac di kampus induk di Parit Raja dan kampus Pagoh di Muar, Johor. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sudah bersedia bagi menyambut ketibaan pelajar berkeperluan khas selepas mereka dibenarkan pulang semula ke kampus bagi mengikuti Semester II Sesi 2020/2021.

Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat UTHM memaklumkan, pihaknya akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mencegah dan mengekang risiko penularan wabak Covid-19.

Katanya, kira-kira 2,000 kakitangan pentadbiran dan pengurusan sudah bersedia bagi membolehkan pelajar yang dikelaskan dalam enam kategori itu menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara fizikal dan dalam talian (hibrid) bermula 1 Mac ini.

“Pelajar kategori 1 yang dibenarkan pulang adalah daripada program pengajian peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan aktiviti praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.

“Selain itu, pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian yang telah dikenal pasti oleh fakulti juga dibenarkan pulang ke kampus selain pelajar diploma sedia ada di kampus boleh meneruskan pengajian secara hybrid,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom, pelajar orang kurang upaya (OKU) dan pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET) serta profesional juga dibenarkan pulang ke kampus.

Katanya, pelajar yang tidak termasuk kategori berkeperluan seperti dinyatakan akan kekal mengikuti PdP secara dalam talian di kediaman masing-masing dan tidak perlu kembali ke kampus.

“Pelajar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) tidak dibenarkan kembali ke kampus dan hanya boleh mengemukakan permohonan kembali ke kampus setelah kategori kawasan kediaman bertukar menjadi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perintah lain.

“Sekiranya pelajar dalam kategori 1 memilih untuk tidak kembali ke kampus, maka pelajar perlu membuat keputusan sama ada untuk menggugurkan kursus atau menangguhkan pengajian bagi semester ini,” katanya.

Kata kenyataan itu juga, pelajar yang dibenarkan kembali ke kampus akan mendapat surat pemberitahuan daripada pihak fakulti masing-masing.

“Semua pelajar berkeperluan disediakan dan perlu menginap sepanjang semester di kolej kediaman yang disediakan oleh pihak universiti,” katanya.

Untuk rekod terdapat seramai 18,000 pelajar UTHM termasuk di kampus induk di Parit Raja dan Pagoh.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.